PETALING JAYA: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengingatkan kerajaan Malaysia agar tidak campur tangan dalam kemelut melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John menjelaskan tindakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengeluarkan kenyataan atau cuba campur tangan bakal mendatangkan risiko dan hukuman lebih berat kepada FAM.
Tegas Windsor, kerajaan sememangnya pemegang taruh besar dalam pembangunan bola sepak negara, namun peranan mereka tidak termasuk mencampuri urusan pentadbiran atau membuat keputusan yang menyentuh autonomi FAM.
Justeru, setiap kenyataan rasmi perlu dibuat dengan penuh lebih berhati-hati bagi mengelakkan berlaku salah tafsir sehingga dianggap sebagai campur tangan.
“Walaupun FAM sedang berdepan krisis, kementerian atau menteri tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan mana-mana pegawai FAM meletak jawatan. Itu tidak boleh dilakukan kerana mereka dipilih oleh ahli gabungan.
“Setiap kenyataan yang dibuat perlu berhati-hati agar tidak menjejaskan atau melanggar kebebasan FAM sebagai sebuah badan berautonomi. Kerajaan tidak boleh mencampuri urusan, tidak boleh mengeluarkan sebarang arahan, dan tidak boleh mempengaruhi apa-apa keputusan FAM.
“Contoh terdekat ialah Brunei, yang berdepan campur tangan pihak ketiga dalam proses pemilihan kepimpinan. Akibatnya, FIFA dan AFC terpaksa menubuhkan jawatankuasa normalisasi bagi mengambil alih pentadbiran,” kata Windsor.
Menurut beliau, campur tangan dalam pemilihan kepimpinan memberi kesan langsung kepada tadbir urus bola sepak sesebuah negara, sekali gus memaksa FIFA serta AFC masuk campur bagi memulihkan struktur pentadbiran.
Kes Brunei itu, harus menjadi peringatan jelas buat semua pihak bahawa tindakan di luar garis panduan boleh memberi implikasi besar kepada keseluruhan ekosistem bola sepak negara.
Selain berdepan kontroversi membabitkan pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan, FAM kini tidak mempunyai pemimpin utama selepas Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub meletakkan jawatan sebagai presiden pada Ogos lalu.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi kini memangku jawatan presiden sehingga pemilihan baharu dibuat pada tahun hadapan.-UTUSAN










