PETALING JAYA: Pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Nafuzi Zain mengakui berdepan tugas berat untuk merealisasikan impian emas dalam acara bola sepak di Sukan SEA 2025.
Selepas mengalami episod duka di pentas Piala ASEAN dan kelayakan Piala Asia, anak buah Nafuzi kini memulakan langkah perburuan ibu segala pingat di temasya dwitahunan itu.
Aksi di Thailand itu juga menjadi pentas terakhir skuad B-23 menutup tahun ini dengan pencapaian lebih baik selepas kegagalan berganda di Piala ASEAN dan kelayakan Piala Asia pada Julai dan September lalu.
Biarpun sasaran awal hanya ke separuh akhir, namun Nafuzi sedar bahawa harapan tinggi peminat untuk melihat skuad kendaliannya membawa pulang pingat emas dari temasya itu.
“Saya tahu yang harapan tinggi daripada penyokong buat pasukan di Sukan SEA. Kami tahu temasya ini dari dulu lagi adalah penantian daripada peminat untuk kami mendapatkan pingat emas.
“Kami harap dapat memberikan sesuatu walaupun banyak (cabaran), mungkin persediaan kami yang singkat dan kekangan-kekangan yang kami lalui untuk persediaan termasuk dari segi liga masih berjalan.
“Apa pun kami perlu menyahut cabaran dan memberikan yang terbaik untuk kami meraih kejayaan. Dari segi sasaran, kami tahu dua kejohanan sebelum ini kami gagal layak ke separuh akhir (Piala ASEAN) dan juga ke pusingan akhir (kelayakan Piala Asia).
“Jadi apa yang penting bagi Sukan SEA ini adalah untuk kami mara ke separuh akhir dahulu,” katanya ketika ditemui pada hari pertama kem latihan skuad B-23 di Padang Latihan Sime Darby, Bukit Jelutong, kelmarin
Skuad negara akan membuka tirai saingan Kumpulan B menentang Laos, 7 Disember ini sebelum berdepan Vietnam (11 Disember) dengan semua aksi berlangsung di Stadium Tinsulanon, Songkhla.
Sebagai rekod, kali terakhir skuad negara memenangi pingat dalam acara bola sepak lelaki di Sukan SEA adalah meraih perak pada 2017 di Kuala Lumpur dan ketika edisi terakhir di Kemboja dua tahun lalu, Harimau Malaya B-23 pulang awal apabila terkandas di peringkat kumpulan.
Untuk rekod, sudah 14 tahun skuad negara tidak memenangi pingat emas di Sukan SEA selepas edisi 2011 di Jakarta, Indonesia menerusi skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee.-UTUSAN










