HP hapus ribuan pekerjaan kerana AI

HP hapus ribuan pekerjaan kerana AI

Komputer riba baharu HP digunakan semasa sesi demonstrasi di persidangan teknologi Collision 2024 di Enercare Centre di Toronto, Kanada.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAN FRANCISCO: Pengeluar komputer dan pencetak, HP mengumumkan pelan penstrukturan semula berskala besar yang akan mengurangkan kira-kira 10 peratus tenaga kerjanya di seluruh dunia, ketika syarikat itu beralih kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan kecekapan.

Menurut laporan pendapatan terbaharunya, gergasi teknologi itu menjangkakan memberhentikan antara 4,000 hingga 6,000 pekerja di peringkat global bagi memberi tumpuan kepada penggunaan AI untuk meningkatkan inovasi dan kepuasan pelanggan.

Langkah HP ini mencerminkan trend yang lebih luas dalam sektor teknologi, apabila banyak syarikat melabur secara besar-besaran dalam pembangunan AI sambil menggunakan teknologi tersebut untuk mengurangkan kos operasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Syarikat teknologi utama termasuk Google, Microsoft dan Amazon turut mengumumkan pengurangan tenaga kerja sejak dua tahun lalu, dengan kebanyakannya menyatakan keperluan untuk mengagihkan semula sumber termasuk pekerjaan kepada inisiatif berkaitan AI.

Penganalisis industri berkata, automasi AI secara khusus memberi kesan kepada peranan dalam sokongan pelanggan, moderasi kandungan, kemasukan data serta beberapa tugas tertentu dalam bidang pengaturcaraan komputer.

HP memaklumkan, pelan AI syarikat itu menyasarkan penjimatan kira-kira AS$1 bilion (RM4.12 bilion) setahun menjelang akhir tahun fiskal 2028.

Syarikat itu kini giat mengubah model perniagaannya susulan perubahan corak permintaan dalam pasaran komputer dan percetakan.

Ketua Pegawai Eksekutif HP, Enrique Lores memberitahu Wall Street Journal, syarikat merancang untuk menaikkan harga komputer serta bekerjasama dengan pembekal baharu bagi membantu menampung kos pengkomputeran AI yang lebih tinggi.

Dalam suku terkininya, HP mencatatkan keuntungan AS$795 juta (RM3.2 billion), berbanding AS$906 juta (RM3.7 bilion) pada tempoh yang sama tahun lalu.

Hasil pendapatan meningkat 4.2 peratus kepada AS$14.64 bilion (RM60.41 bilion), melepasi anggaran penganalisis dengan jualan komputer berjaya mengimbangi penurunan jualan pencetak.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×