Kes buli, masalah obesiti dan kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak serta pelajar sekolah kini cukup membimbangkan sekali gus menuntut langkah lebih proaktif oleh pelbagai pihak menangani isu ini.
Semua masalah ini timbul berikutan mereka kurang bergerak aktif sebaliknya lebih banyak menghabiskan masa dengan telefon pintar serta bermain permainan dalam talian dan media sosial lain.
Menggunakan pengalaman sebagai juara dunia skuasy, Datuk Dr. Nicol David terpanggil menyumbangkan kemahiran dalam membina fizikal cergas dan mental kuat kepada masyarakat melalui Nicol David Organization (NDO) yang ditubuhkannya sejak tahun 2022.
Katanya, inilah masa yang paling penting untuk menekankan aktiviti fizikal dan sukan kepada kanak-kanak dan remaja dalam mencegah masalah mental seterusnya memupuk generasi mental sihat.
“Sukan banyak mendidik dan menjadi asas untuk saya melakukan apa sahaja dalam hidup. Saya perlu berdaya tahan, bijak menyesuaikan diri dan bekerja keras. Anda boleh gunakan sukan dalam transformasi hidup dan melangkah ke tahap baharu dalam kerjaya.
“Generasi kini berdepan persekitaran yang penuh cabaran. Keresahan melampau, kemurungan dan tekanan semakin meningkat dalam kalangan orang muda termasuk kanak-kanak.
Media sosial dan aura negatif semakin membimbangkan. Dahulu bila kena buli di sekolah, kita balik ke rumah dan masa itu tiada telefon. Kita tidak melihat komen-komen dan maklumat yang negatif,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Turut hadir, jurulatihnya, Liz Irving dan Ketua Pegawai Eksekutif serta Pengasas Bersama NDO, Mariana de Reyes.
RISIKO DEMENSIA AWAL
Nicol berkata, kanak-kanak dan remaja boleh melakukan sesuatu yang mudah seperti berinteraksi sosial dengan berjumpa rakan-rakan, berbanding menghabiskan masa hanya bermain telefon.
Malah mereka juga mungkin tidak memikirkan kesihatan mereka kerana sibuk dengan gajet.
“Kadangkala mereka mengalami tekanan sama ada dalam akademik atau rakan sebaya dan tidak tahu bagaimana hendak bergaul dengan orang lain kerana terlalu bergantung dengan telefon. Justeru, penting galakan mereka aktif, bergerak dan bersukan.
“Secara peribadi, saya menyambut baik cadangan mengehadkan waktu penggunaan telefon dan peralatan teknologi dalam kalangan kanak-kanak bawah 16 tahun. Penggunaan telefon berlebihan mencetuskan demensia lebih awal usia kerana otak tidak berfungsi dan berhenti berkembang,” katanya.

PERKASA WANITA, KANAK-KANAK
NDO memperkasa wanita, kanak-kanak dan komuniti melalui tiga program yang dilancarkan iaitu Little Legends, Ibu Legends dan Positif Play.
Program itu dijalankan di NDO dan sekolah sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Sabah dan Sarawak.
“Di bawah Little Legends, NDO membuka kelas percuma untuk belajar Bahasa Inggeris dan skuasy untuk kanak-kanak dari kategori B40 di sekitar Bukit Jalil kerana kanak-kanak ini mungkin tidak mempunyai peluang berbuat demikian.
“Kami bukan mahu mereka jadi juara tetapi bagi memastikan mereka aktif bergerak,” jelasnya.
Katanya, kanak-kanak seronok bermain squasy dan di bawah program Ibu Legends pula, ibu dapat menyertai program dianjurkan dan mempunyai komuniti yang memberikan sokongan sesama mereka untuk berdepan cabaran masa kini.
“Ramai berpendapat mengapa saya tidak tubuhkan akademi sendiri dan meraih keuntungan, namun, bagi saya semua pengalaman yang saya peroleh sepanjang kerjaya saya, saya perlu memberi semula kepada rakyat Malaysia.
“Kami menerima dana daripada tajaan korporat, selain geran permulaan daripada kerajaan selepas persaraan serta memohon geran daripada badan korporat seperti Yayasan Hasanah dan Yayasan Sime Darby,” katanya.
Selain itu, NDO menganjurkan Persidangan Kemuncak Sukan & Kesihatan Mental 2025 yang julung kali diadakan di Pavilion Bukit Jalil pada 30 Oktober hingga 2 November lalu.
Tujuannya mengajak semua pihak berganding bahu untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan untuk bergerak aktif dan cergas.
Gaya hidup dan obesiti juga berkaitan secara tidak langsung kepada kesihatan mental.
“Sebagai ibu bapa, guru dan pemimpin dalam sesebuah organisasi, anda perlu peka dengan petanda amaran yang menunjukkan anak-anak atau mereka yang di bawah kumpulan mereka berada dalam tekanan. Peka dengan petanda yang datang dan fahami kehendak tubuh yang mahu kita berehat.
“Jika anda terus memaksa diri demi mencapai apa diinginkan, anda akan jatuh ke dalam perangkap tekanan yang boleh menjejaskan mental.
“Dapatkan sokongan seperti rakan dan keluarga. Malah, pemimpin dalam pelbagai organisasi jika tidak menjaga mental yang sihat, akan memberi kesan kepada organisasi yang diterajui. Jadi, berhenti sebentar, “ sarannya.
BERI PELUANG TUBUH BEREHAT
Dalam mengejar impian menjuarai sesuatu kejuaraan, sudah tentu anak kelahiran Pulau Pinang ini tidak lari daripada rasa tertekan.
Namun, beliau memilih melepaskan tenaga negatif itu dengan cara tersendiri menerusi tarian hip hop.
“Sukan adalah kerjaya saya dan saya mahu lakukan yang terbaik tetapi saya mesti ada aktiviti lain untuk menenangkan fikiran seperti berjalan di taman. Saya juga akan berjumpa rakan-rakan untuk interaksi sosial.
“Saya masih ingat pada tahun 2018,yang mana saya akan bersara dalam tempoh satu setengah tahun lagi. Saya perlu bersedia untuk Sukan Komanwel di Australia. Dalam tempoh tiga bulan selepas itu pula, ada Asean Games.
“Badan dan otak saya keletihan. Jadi, saya sedar saya harus berehat seketika dan bercuti sebab saya tahu,kalau saya terus berlatih, saya tidak akan berjaya di sukan Asean itu,” katanya.
Katanya, Liz juga menggalakkannya untuk berehat seketika dan keluar dari Amsterdam.
Nicol pulang ke tanah air sebelum berlatih selama tiga minggu untuk Sukan Asean dan hasilnya, beliau berjaya meraih emas.
PEKA PETANDA TEKANAN
Liz berkata, mentaliti ingin mencapai impian yang terlalu tinggi dan mahu semuanya sempurna bukanlah satu realiti dan menjadi punca seseorang mudah mengalami kekecewaan apabila impian tidak terjangkau .
“Anda perlu melatih minda menghilangkan tekanan dan ia sangat membantu apabila berdepan isu tekanan.
“Ibu bapa hari ini mengharapkan kejayaan anak dengan menyasarkan keputusan cemerlang dalam akademik sekali gus memberi tekanan kepada anak-anak. Apabila berlaku tekanan, ada tanda-tanda yang ibu bapa perlu berhenti dan memberi peluang anak berehat, “ katanya.
Liz pernah meminta Nicol ‘menggantung’ reket skuasynya selama sebulan.
Dalam kerjaya sebagai pemain skuasy dunia mewakili Australia dan jurulatih skuasy Nicol, Liz mengakui mengalami petanda di mana dirinya juga perlu berehat sebagai jurulatih.
“Sama seperti ibu bapa juga dalam mendidik anak-anak. Mereka perlu mengetahui bila perlu berhenti. Ibu bapa sihat, anak-anak juga akan sihat.
“Gaya hidup sihat juga penting untuk kesihatan mental. Saya bangun seawal 4 pagi. Saya pergi gimnasium dan mulakan hari dengan fizikal dan mental positif. Saya cuba mendisiplinkan diri dalam hal ini,” katanya.









