LONDON: Arsenal mempamerkan watak juara ketika menundukkan Bayern Munich 3-1 dalam pertembungan Liga Juara-Juara di Stadium Emirates, awal pagi tadi.
Bayern memulakan aksi di Stadium Emirates selaku pendahulu Liga Juara-Juara, berada di depan Arsenal menerusi perbezaan jaringan, dengan kedua-dua pasukan menang empat perlawanan terdahulu.
The Gunners mendahului pada minit ke-22 apabila Jurrien Timber menanduk masuk sepakan penjuru Bukayo Saka, dengan Manuel Neuer gagal menghalang
jaringan itu menyerlahkan ketajaman berterusan Arsenal menerusi situasi bola mati.
Eberechi Eze, yang menjaringkan hatrik ketika menang 4-1 ke atas Tottenham Ahad lalu, berpeluang melebarkan kedudukan tetapi rembatan leretnya tersasar.
Arsenal kelihatan selesa, namun Bayern kembali dalam permainan sekelip mata pada minit ke-32 menerusi pemain berusia 17 tahun, Lennart Karl sebelum Noni Madueke mengembalikan pendahuluan Arsenal dan Gabriel Martinelli memanfaatkan kesilapan besar Neuer.
Penyokong Arsenal yang teruja sempat mengejek penyerang Bayern, Harry Kane yang juga bekas pemain Tottenham dengan nyanyian “Harry, Harry, what’s the score”.
Kedua-dua kelab kekal dalam kedudukan baik untuk menamatkan saingan dalam kelompok lapan teratas daripada 32 pasukan pada fasa liga Liga Juara-Juara, yang menjamin slot automatik ke pusingan 16 terakhir.-AGENSI










