PETALING JAYA: Harapan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menang melawan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dijangka tipis.
Pandangan itu disuarakan oleh peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli selepas menilai alasan penuh keputusan Jawatankuasa Rayuan setebal 64 muka surat yang didedahkan, kelmarin.
Menurut Nik Erman, alasan bertulis itu memberi gambaran jelas bahawa FIFA meneliti setiap aspek kes dengan terperinci dan keputusan menolak rayuan FAM bukan dibuat secara tergesa-gesa.
Menurutnya, sama ada FAM wajar merayu atau tidak bergantung sepenuhnya kepada asas rayuan yang ingin diketengahkan, namun kedudukan FAM untuk mencipta ‘keajaiban’ dilihat sukar.
“Dokumen tersebut menunjukkan Jawatankuasa Rayuan mendapati Setiausaha Agung FAM (Datuk Noor Azman Rahman) sendiri mengakui berlaku pengubahan dokumen termasuk tindakan staf pentadbiran memformat dan mengendalikan salinan sijil kelahiran tertentu, termasuk kandungan yang diubah dan FAM dengan sengaja mengemukakan dokumen palsu kepada FIFA.
“Hujah yang dikemukakan oleh FAM adalah bahawa ini dilakukan tanpa pengetahuan atau kebenaran pemain, Setiausaha Agong FAM atau Jawatankuasa Eksekutif FAM, tidak diterima oleh Jawatankuasa Rayuan.
“Sebab ini, bersama-sama dengan fakta bahawa tiada bukti yang disebut dalam ‘motivated decision’ untuk menyangkal bahawa dokumen tersebut telah dipalsukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tegas Nik Erman, kedua-dua badan Jawatankuasa Tatatertib dan Jawatankuasa Rayuan FIFA begitu konsisten dalam keputusan mereka bahawa FAM tidak menolak dakwaan pemalsuan, sebaliknya hanya menyatakan mereka tidak menyedari wujudnya salah laku tersebut.
“Adalah konsisten dalam kedua-dua pendengaran Jawatankuasa Tatatertib dan Jawatankuasa Rayuan bahawa FAM tidak menafikan dokumen tersebut telah dipalsukan tetapi sebaliknya menganggap mereka tidak menyedari sebarang salah laku.
“Sebab-sebab lain yang dikemukakan oleh FAM termasuk tiada niat, ketiadaan kesan sukan substantif dan keadaan yang meringankan bukanlah alasan yang cukup kuat untuk berjaya merayu kepada CAS.
“Secara peribadi, saya kurang jelas di mana kekuatan asas rayuan FAM ke CAS. Alasan yang digunakan ketika proses rayuan ini sudah pun dianggap lemah dan tidak memadai untuk mengetepikan hukuman sedia ada,” jelasnya.
Pandangan itu sekali gus menimbulkan persoalan besar terhadap peluang FAM meraih keputusan berbeza apabila membawa kes berprofil tinggi ini ke peringkat tertinggi penyelesaian pertikaian sukan dunia.- UTUSAN










