Lumpuh bukan halangan Nurul Hidayah jadi usahawan

Lumpuh bukan halangan Nurul Hidayah jadi usahawan

LUMPUH sebelah badan bukan halangan Nurul Hidayah Faizah Abdullah bergelar usahawan dan berniaga pada Karnival Masyarakat Mesra OKU di Dewan Majlis Daerah Jerantut di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kekurangan fizikal bukan penghalang buat Nurul Hidayah Faizah Abdullah, 28, yang lumpuh separuh badan akibat kemalangan jalan raya pada Januari tahun lalu bergelar seorang usahawan.

Berbekal semangat kental dan sokongan keluarga, anak Orang Asli dari Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Rengat, Da­mak di sini, berniaga kecil-kecilan menjual wafer dan kopi di kampung itu dengan bantuan seorang rakan.

Nurul Hidayah berkata, status orang kurang upaya (OKU) tidak pernah dijadikan alasan untuk berputus asa, sebaliknya menjadi dorongan berdikari dan membina masa depan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya mahu buktikan bahawa OKU juga mampu berjaya jika diberikan peluang dan soko­ngan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Karnival Masyarakat Mesra OKU Daerah Jerantut di Dewan Majlis Daerah Jerantut, di sini , semalam.

Nurul Hidayah tidak seorang diri sebaliknya disertai rakan, Rosnani Rahim, 42, yang menjadi ‘tulang belakang’ membantunya menyediakan bahan, meng­urus jualan dan menemaninya ke lokasi program anjuran agensi kerajaan.

Dua sahabat itu bukan sahaja berniaga di kampung, malah sesekali menyertai program anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi lain bagi menambah pendapatan serta memperluas jaringan pelanggan.

“Pendapatan alhamdulillah, cu­kup untuk saya menampung kehidupan sendiri walaupun tidak banyak. Sekurang-kurangnya saya tidak hanya bergantung kepada bantuan,” ujarnya.

Bercerita tentang kemalangan dihadapinya, wanita itu berkata, dalam kejadian tersebut, motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux ketika dalam perjalanan pulang dari pasar raya Tunas Manja di bandar Jerantut.

“Akibat nahas itu, saya terlantar hampir sebulan di Hospital Jerantut sebelum doktor mengesahkan tangan kiri dan kaki kiri saya lumpuh,” katanya.

Beliau bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana umurnya masih panjang, cuma bezanya dia perlu belajar hidup sebagai OKU. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN