BURNLEY: Pengendali Arsenal, Mikel Arteta menganggap persembahan separuh masa pertama ketika menang 2-0 ke atas Burnley, semalam sebagai persembahan terbaik anak buahnya.
Dalam aksi itu, skuad bimbingan Arteta sekali lagi mempamerkan kehebatan mereka dalam situasi bola mati apabila Viktor Gyokeres membuka jaringan pada minit ke-14 di Turf Moor.
The Gunners kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-35 menerusi serangan balas pantas yang disudahi Rice dengan tandukan kencang menewaskan penjaga gol Burnley, Martin Dubravka.
“Kami memulakan perlawanan dengan sangat baik. Babak pertama mungkin antara yang terbaik kami mainkan. Kami menjaringkan dua gol, mencipta beberapa peluang besar dan langsung tidak dibolosi. Ia menjadi asas kepada kemenangan ini.
“Separuh masa kedua standard permainan menurun sedikit, terutama daripada segi penguasaan bola, tetapi pertahanan kami kekal kukuh,” kata Arteta.
Kemenangan itu menyaksikan The Gunners mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 25 mata daripada 10 perlawanan dan Burnley kekal di tangga ke-17 dengan 10 mata.
Daripada 16 gol liga mereka setakat ini, sembilan berpunca daripada situasi bola mati dan dua daripada sepakan penalty, sekali gus membuktikan kekuatan Arsenal dalam memanfaatkan setiap peluang.
Gyokeres yang menjaringkan gol pertama malam tadi mencatat gol liga pertamanya sejak 13 September, namun pemain itu terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan, begitu juga Martin Zubimendi.
“Kami perlu tunggu laporan lanjut,” ujar Arteta ringkas bagi mengulas mengenai kecederaan Gyokeres.- AGENSI










