Zi Yu-Noraqilah naib juara remaja dunia di India

Zi Yu-Noraqilah naib juara remaja dunia di India

Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan tewas kepada beregu China, Tan Ke Xuan-Wei Yue Yue pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Guwahati Assam, India, hari ini. - Ihsan Facebook BAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan terlepas peluang melakar sejarah untuk muncul beregu perempuan pertama Malaysia dinobatkan sebagai juara remaja dunia selepas tewas kepada pasangan China, Tan Ke Xuan-Wei Yue Yue pada final di Guwahati Assam, India, hari ini.

Memegang status sebagai pilihan ketiga, Zi Yu-Noraqilah kalah straight set 13-15, 17-19 dalam masa 37 minit di Pusat Kecemerlangan Nasional.

Muncul sebagai naib juara, Zi Yu-Noraqilah sekadar mengulangi pencapaian edisi lalu yang menyaksikan Zi Yu-Dania Sofea Zaidi juga membawa pulang pingat perak.

Dania yang ditimpa kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) dan terpaksa berehat panjang, telah menyebabkan Noraqilah dipasangkan dengan Zi Yu bagi edisi tahun ini.

Untuk Noraqilah, dia muncul pemain yang membawa pulang lebih satu pingat apabila turut meraih gangsa bersama Loh Zi Heng untuk beregu campuran.

Zi Yu ketika ditemu bual wakil BWF selepas perlawanan berkata, dia kurang berpuas hati dengan corak permainan yang dipamerkan pada perlawanan akhir.

“Saya pernah memenangi pingat perak, sasaran saya ialah pingat emas, jadi, saya tidak gembira dengan pencapaian ini.

“Saya tidak melihat ia satu pencapaian yang baik kerana kami terlepas pingat emas,” katanya.

Pencapaian keseluruhan tahun ini, dengan satu pingat perak dan satu gangsa, gagal mengulangi kecemerlangan tahun lalu apabila Malaysia berjaya membawa pulang pingat emas menerusi beregu lelaki, Kang Khai Xing-Aaron Tai.

Tahun ini, tanpa kelibat Khai Xing-Aaron, beregu lelaki negara yang diwakili Loh Zi Heng-Tan Zhi Yang serta Isyraf Hafizin-Ahmad Redzuan tidak mampu melangkah jauh dan terkandas di peringkat 16 terbaik.

Cuma pencapaian beregu campuran berlaku peningkatan dengan pingat gangsa berjaya di bawa pulang berbanding tersekat di suku akhir pada tahun lepas.

Untuk acara berpasukan campuran pula, Malaysia hanya menamatkan saingan di kedudukan kelima keseluruhan, dengan penyertaan pada edisi 2011 masih kekal menjadi pencapaian terbaik apabila skuad negara muncul selaku juara buat kali pertama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN