Zaidatul enggan kejar warna pingat

Zaidatul enggan kejar warna pingat

ZAIDATUL Husniah Zulkifli
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli tidak meletakkan tekanan tinggi menjelang Sukan SEA Thailand, sebaliknya hanya mahu memastikan dirinya berada di podium dalam dua acara tumpuan iaitu 100 meter (m) dan 4x100m.

Atlet berusia 32 tahun itu berkata, sasaran utama kali ini bukan pada warna pingat, tetapi untuk memastikan kontinjen negara tetap mempunyai wakil di atas podium.

Menurutnya, kedua-dua acara itu mempunyai keutamaan tersendiri, namun beliau melihat peluang lebih cerah dalam acara 4x100m wanita.

“Untuk Sukan SEA nanti, kita akan berikan fokus dan paling penting nak naik podium dulu. Itu yang utama dan warna pingat itu cerita lain.

“Saya lebih nampak 4x100m, tapi kedua-duanya pun memang saya akan letak sasaran sama sebab itu tanggungjawab saya dan kedua-duanya pun sangat penting. Harap kami dapat lakukan yang terbaik dan mungkin buat keajaiban di sana,” kata Zaidatul ketika ditemui di Universiti Putra Malaysia (UPM), semalam.

Zaidatul atau mesra disapa Adeq berkata, persaingan kali ini dijangka sengit dengan semua negara utama sudah meningkatkan persiapan masing-masing.

Katanya, beliau kini memberi tumpuan kepada aspek fizikal dan mental selain perlu memperbaiki catatan masa sekiranya mahu membawa pulang pingat.

“Untuk wanita, persaingan sengit dan semua negara bekerja keras dan ini satu cabaran untuk saya juga. Jadi, nak tak nak Adeq perlu melakukan persiapan rapi dan berikan 110 peratus nanti.

“Untuk menang emas, sudah pasti kita kena pecah rekod kebangsaan (44.58 saat). Jadi kita kena buat masa lebih baik kalau nak kalahkan Thailand,” katanya.

Pelari kelahiran Kedah itu pernah meraih pingat perak dalam acara 100m dan 200m di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, selain membantu skuad 4x100m wanita meraih tiga gangsa masing-masing di Singapura 2015, Filipina 2019 dan Kemboja 2023.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN