Wan Rohaimi tabik komitmen pemain

Wan Rohaimi tabik komitmen pemain

WAN ROHAIMI WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kejayaan memungut tiga mata pertama dalam saingan Liga Super apabila menundukkan Negeri Sembilan FC (NSFC) 2-1 di laman sendiri, kelmarin jelas menceriakan ketua jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail.

Tanpa berselindung, pengendali kelahiran Kelantan itu menghamburkan pujian kepada pemain-pemainnya yang telah berusaha keras untuk meraih kemenangan tersebut.

“Saya hari-hari bersama pemain. Jadi, saya tidak begitu risau. Saya nampak pasukan ini akan pergi jauh dan kami boleh buat. Cuma, kami perlukan sedikit masa untuk (dapatkan) tiga mata.

“Bagi saya, komitmen mereka (pemain) di atas padang begitu menakjubkan. Mereka berjuang demi pasukan. Tidak ada seorang pemain pun berjuang untuk diri sendiri kecuali untuk Penang FC,” katanya.

Dalam perlawanan itu, pemain import berpengalaman, Tchetche Kipre muncul wira pasukan apabila meledak dua gol iaitu pada minit ke-13 dan 49 manakala gol tunggal NSFC pula diperoleh hasil jaringan sendiri pemain import Penang FC, Faith Obilor.

Mengulas lanjut, Wan Rohaimi berkata, kemenangan sulung itu juga akan menjadi tonik yang diperlukan oleh Harimau Kumbang sebelum melayan kunjungan pasukan gergasi, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Bandaraya dalam aksi timbal balik pertama, suku akhir Piala FA, 17 Oktober ini.

“Kita perlukan konsistensi selepas ini dan kepada penyokong-penyokong Penang FC, anda bolehla kembali ke stadium selepas ini.

“Saya percaya, momentum Penang FC untuk terus mendapatkan keputusan yang positif akan dicapai. Insya-Allah, dan kami memerlukan sokongan semua pada perlawanan akan datang,” ujar beliau.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN