JOHOR BAHRU: Pengendali UM Damansara United, Ridzuan Abu Shah puas setelah anak buahnya bukan sahaja menjaringkan satu malah tiga gol berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di gelanggang keramat mereka pada aksi kedua pusingan 16 Piala FA, malam tadi.
Biarpun terkandas dengan agregat 10-3, Ridzuan merasakan tiga gol yang dihasilkan pada babak kedua itu amat bermakna buat pasukan dan merupakan satu pencapaian membanggakan.
Malah, katanya, ada ketika pemain berjaya memberi tekanan kepada Harimau Selatan apabila merapatkan jurang gol pada perlawanan tersebut.
“Gol pertama itu memang kita tak jangka dan saya anggap sebagai gol saguhati, sebab ia berpunca satu kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh mana-mana penjaga gol.
“Tetapi saya cukup teruja apabila kita berjaya menjaringkan dua gol lagi selepas itu terutamanya daripada pemain gantian Anuar Ceesay.
“Persembahan itu menjawab kritikan saya terhadapanya, ternyata dia membuktikan kebolehannya dan perkara seperti inilah yang saya mahukan,” katanya.
Pada perlawanan itu, UM Damansara membuka jaringan menerusi Thankgod Michael yang menghukum kesilapan penjaga gol JDT, Christian Abad ketika membuat hantaran kepada pemain pertahanan sebelum Ceesay meledak dua jaringan pada minit ke-66 dan ke-74.
Ridzuan turut memuji aksi yang dipamerkan penjaga gol, Haziq Fitri Nek Lah yang menyelamatkan gawang dibolosi dengan jaringan yang lebih banyak termasuk ketika menyelamatkan sepakan penalti yang diambil Romel Morales.
“Sebenarnya, dia bukanlah penjaga gol utama, dia adalah penjaga gol ketiga. Dia cukup bagus membuat sepakan dan peluang yang diberikan ini membuktikan bahawa dia boleh bermain,” katanya.-UTUSAN