KUALA LUMPUR: Dalam landskap penguatkuasaan undang-undang yang mencabar, tentangan daripada sesetengah pihak adalah perkara biasa, namun setiap amanah perlu dilunaskan demi memastikan keadilan terus terpelihara.
Bekas Timbalan Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mustafar Ali berkata, warga kerja SPRM perlu cakna berkaitan cabaran masa kini serta mendatang yang perlu dihadapi mereka.
“Setiap langkah penguatkuasaan perlu dilakukan secara teliti dan berhemah, bukan kerana bimbang ia memakan diri, tetapi kerana menyedari wujud pihak yang tidak senang dengan tindakan tersebut.
“Orang tidak akan suka kepada kita tetapi ia tetap perlu dilakukan, kerana dalam kerja ini akan ada cabaran dan ia haruslah ditangani dengan cara tertentu,” katanya dalam sidang akhbar selepas program Wacana Ilmiah Perdana di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Beliau mengulas insiden protes terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki yang dilakukan sekumpulan individu sewaktu beliau menyampaikan ucaptama dalam program berkenaan.
Mengulas lanjut berkenaan risiko keselamatan Azam, Mustafa menyatakan, dalam bidang penguatkuasaan undang-undang, risiko keselamatan sememangnya tidak dapat dielakkan, namun ia perlu diurus dan ditangani dengan sebaik mungkin.
“Risiko terhadap keselamatan wajar diurus dan ditadbir sebaik mungkin bagi memastikan setiap penguatkuasaan berjalan lancar.
“Cabaran yang dihadapi warga SPRM kini lebih besar berbanding sebelum ini, kerana cabaran kali ini melibatkan media sosial serta teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya. – UTUSAN










