Skuad B-23 perlu buktikan kemampuan

Skuad B-23 perlu buktikan kemampuan

HAQIMI Azim Rosli dijangka menjadi pilihan untuk mengetuai jentera serangan skuad B-23 di Sukan SEA Thailand 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara perlu membuktikan kemampuan sebenar mereka dengan menjadikan Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember depan sebagai pentas kebangkitan.

Bekas pemain skuad yang memenangi pingat emas Sukan SEA Indonesia 2011, Mahali Jasuli berkata, cabaran getir bakal dilalui skuad bimbingan Nafuzi Zain dalam peringkat Kumpulan B, di mana perlu menang ke atas Vietnam dan Laos bagi memastikan slot ke separuh akhir dan seterusnya perlawanan akhir.

Jelasnya, melihat kepada barisan pemain dan prestasi dalam dua kejohanan sebelum ini iaitu di Piala ASEAN B-23 dan Kelayakan Piala Asia B-23, sebenarnya daripada sudut positif ada peningkatan walaupun gagal melepasi peringkat kumpulan.

“Kalau tengok kepada undian kumpulan B, pilihan terbaik yang kita ada adalah perlu menang kedua-dua perlawanan bagi menjamin tempat ke separuh akhir. Benar cabaran sengit terutama berdepan pasukan Vietnam tetapi mereka (pemain) tidak pilihan lain jika berhasrat membawa pulang pingat di Sukan SEA.

“Sama ketika zaman kami, di mana berada dalam kumpulan maut bersama Indonesia, Thailand, Singapura serta Kemboja. Untuk menjadi juara siapa pun lawan kita kena hadapi.

“Kalau saya lihat skuad yang ada ini, mereka ada potensi dan barisan pemain berkualiti. Jika lihat dalam dua kejohanan sebelum ini, mereka menunjukkan peningkatan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Skuad muda kebangsaan kini bakal turun dengan misi menamatkan penantian 14 tahun bagi memenangi ibu segala emas itu di Sukan SEA.

Anak buah Nafuzi diundi dalam saingan Kumpulan B, bersama pasukan pilihan, Vietnam dan Laos.

Sementara itu, Kumpulan A menyaksikan tuan rumah, Thailand akan bertemu Kemboja dan Timor Leste dengan Kumpulan C terdiri daripada juara bertahan Indonesia serta Singapura, Filipina dan Myanmar.

Sebelum ini, skuad muda Harimau Malaya telah dikritik hebat apabila terkandas di peringkat kumpulan saingan Piala ASEAN B-23 2025 yang berlangsung di Indonesia pada Julai lepas selain gagal ke Piala Asia B-23.

Kali terakhir skuad negara meraih pingat emas temasya sukan berprestij Asia Tenggara itu pada edisi 2011 ketika dibimbing Datuk Ong Kim Swee.

Tambah Mahali, para pemain bukan sahaja perlu bersedia daripada segi fizikal, malah mental juga sangat penting, selain mengelak mengulangi kesilapan mudah.

“Ini kira peluang kedua atau ketiga untuk skuad muda buktikan bahawa mereka pasukan yang berkualiti di pentas Asia Tenggara. Mungkin dua kejohanan sebelum ini akan dianalisa sebaik mungkin oleh barisan jurulatih untuk menyediakan pasukan lebih baik di Sukan SEA.

“Mungkin tempoh masa dua bulan ini perlu digunakan sebaik mungkin oleh barisan jurulatih dan pemain untuk memastikan kita tidak pulang dengan tangan kosong lagi,” jelasnya.

Temasya Sukan SEA 2025 dijadualkan berlangsung secara rasmi pada 9 Disember hingga 20 Disember depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN