PETALING JAYA: Skuad bawah 23 (B-23) negara tidak mempunyai pilihan selain memulakan kempen Kumpulan B Sukan SEA 2025 dengan kemenangan bagi memastikan peluang untuk mara ke peringkat seterusnya cerah.
Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar berkata, sama ada kemenangan besar atau tipis, itu bukan isunya, tetapi adalah mustahak untuk Malaysia menewaskan Laos dalam aksi pertama Kumpulan B di Chiang Mai, Thailand.
Katanya lagi, hanya kemenangan sahaja membolehkan pemain menerima suntikan motivasi sebelum berdepan lawan sebenar, Vietnam yang merupakan juara Piala AFF B-23.
“Tak kira menang besar atau kecil dalam aksi pertama kerana dengan kemenangan sahaja pada aksi pertama menunjukkan tahap persediaan pasukan kita macam mana.
“Ia juga memberi keyakinan kepada pemain untuk menghadapi Vietnam kerana itu penting bagi menambahkan lagi semangat pemain. Mereka juga perlu tahu kekuatan dan kelemahan sendiri serta pasukan lawan,” katanya.
Azlan turut berkata, jika mahu mengelak daripada pulang awal, adalah baik jika skuad kendalian Nafuzi Zain mengutip enam mata maksimum di peringkat kumpulan.
“Perkara yang amat ditakuti adalah balik awal sebab jika itu berlaku ia menjadi petanda bahawa pasukan bola sepak negara kita di peringkat muda bermasalah. Nampak tidak kukuh.
“Amat jarang pasukan bola sepak kita balik awal dalam Sukan SEA kerana selalunya kita berada di tahap yang dihormati,” katanya.
Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas bola sepak di Sukan SEA adalah pada 2011 di Indonesia apabila skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ketika itu menewaskan Indonesia dalam perlawanan akhir menerusi penentuan sepakan penalti.-UTUSAN










