PETALING JAYA: Skuad silat negara bersedia untuk mempamerkan taring di temasya Sukan SEA 2025 di Thailand, hujung tahun ini.
Keyakinan itu disuarakan selepas kem negara menampilkan aksi cemerlang pada Kejohanan Silat Asia Tenggara 2025 di Hatyai, Thailand yang berakhir, semalam.
Antara yang mencuri tumpuan ialah Ummi Mashitah Hassan yang merangkul emas dalam acara C Putri, selain Muhammad Robial Sobri turut menghadiahkan emas dalam kategori I Putra.
Turut mencatat keputusan memberangsangkan ialah Muhammad Amirul Hakim Jaafar (perak, A Putra), Mohamad Akmal Azman (gangsa, A Putra), dan Muhamad Helmi Basrol (gangsa, E Putra).
Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Bibi Aishah Golbal Shah, berkata, pencapaian itu menjadi petanda positif terhadap persiapan skuad negara ke Sukan SEA.
“Ya, saya yakin atlet silat negara mampu mengekalkan prestasi cemerlang ini di Sukan SEA nanti.
“Kami akan mengadakan latihan pusat terakhir di Cameron Highlands selama dua minggu bagi memperbaiki beberapa kelemahan sebelum ke temasya Disember nanti,”katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau turut berharap seluruh rakyat Malaysia mendoakan kejayaan skuad silat negara agar kecemerlangan di Hatyai dapat diterjemahkan di pentas Sukan SEA.
“Insya-Allah, dengan semangat juang tinggi dan sokongan rakyat, kita mampu mengaum lebih garang di Sukan SEA nanti,” ujarnya penuh keyakinan.-UTUSAN