NILAI: Jaguh berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom terpaksa menarik diri daripada Sukan SEA 2025 kerana belum pulih daripada kecederaan lutut.
Ketua Jurulatih Berbasikal Trek Negara, Harnizam Basri berkata, pelumba itu telah menjalani pembedahan lutut dua minggu lalu dan kini dalam proses pemulihan awal.
Katanya, pembedahan tersebut menyebabkan nama Shah Firdaus digugurkan daripada senarai akhir skuad ke Sukan SEA 2025 kerana tarikh pendaftaran sudah ditutup.
“Setakat ini baru dua minggu selepas pembedahan. Jadi dalam masa dua minggu lagi dia boleh mula kayuh semula.
“ISN (Institut Sukan Negara) juga maklumkan proses pemulihan mengambil masa sebulan sebelum dia kembali berlatih di atas basikal.
“Kita tidak boleh masukkan pengganti (ke Sukan SEA 2025) sebab pendaftaran telah ditutup. Jadi kita akan guna tiga pelumba yang ada dalam skuad pecut,” jelasnya.
Harnizam berkata demikian kepada pemberita selepas menerima lawatan Ketua Kontinjen Sukan SEA di Velodrom Nasional, Nilai semalam.
Tanpa Shah Firdaus, misi mengejar emas skuad berbasikal trek akan digalas oleh Muhammad Ridwan Sahrom, Muhammad Fadhil Zonis dan Mohd. Akmal Nazimi Jusena.
Menurut Hasnizam, biarpun tanpa khidmat Shah Firdaus, peluang Malaysia untuk memburu pingat emas dalam acara pecut berpasukan dan keirin tetap cerah.
“Saya berani cakap tak ada perubahan sangat sebab kita memang antara pasukan terkuat di Asia Tenggara,” katanya.-UTUSAN