SINGAPURA: Bos Mercedes, Toto Wolff secara terbuka mendedahkan bahawa kontrak baharu untuk George Russell kini semakin hampir dimeterai.
Russell merupakan pemandu paling berprofil tinggi yang masih belum disahkan tempatnya untuk musim 2026, walaupun telah menunjukkan prestasi mengagumkan sepanjang tahun ini.
Spekulasi mengenai masa depan Russell semakin hangat sejak beberapa bulan kebelakangan ini, terutamanya apabila Mercedes secara terbuka mengakui minat untuk mendapatkan juara dunia empat kali, Max Verstappen.
Namun, perjanjian baharu dengan Russell telah lama dianggap sebagai satu formaliti, lebih-lebih lagi selepas Verstappen mengesahkan pada Julai lalu bahawa dia akan kekal bersama Red Bull sekurang-kurangnya sehingga 2026.
Walaupun begitu, kontrak Russell masih belum ditandatangani namun Wolff memberi bayangan bahawa persetujuan akan dicapai tidak lama lagi.
“Kita sangat hampir,” kata Wolff kepada Sky Sports selepas latihan bebas terakhir di Grand Prix (GP) Singapura, kelmarin.
Bercakap pada Khamis lalu, Russell menegaskan bahawa kontraknya perlu disediakan dengan teliti.
“Saya rasa untuk mana-mana pemandu, apabila anda sampai ke tahap tertentu dalam kerjaya, semuanya perlu dilakukan dengan betul.
“Setiap kali anda memperbaharui kontrak, ia adalah kontrak paling penting dalam hidup anda dan ia perlu dilakukan dengan teliti. Tiada apa yang perlu dirisaukan. Ia akan selesai,” kata Russell. – AGENSI