McLaren masih laju - Norris

McLaren masih laju – Norris

Pemandu pasukan McLaren, Lando Norris memecut kereta lumbanya dalam ujian pertama menjelang Grand Prix Australia musim ini di Albert Park, Melbourne, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELBOURNE: Juara dunia Formula Satu (F1) 2025, Lando Norris menegaskan McLaren tidak berada dalam kedudukan tertekan menjelang musim 2026 walaupun pasukan itu mungkin bukan yang terpantas pada perlumbaan pembukaan.

Pasukan dari Woking, England itu memasuki era baharu peraturan F1 dengan reputasi gah selepas menamatkan kemarau 26 tahun kejuaraan pengeluar pada 2024 sebelum menggandakan kejayaan dengan gelaran dunia berganda musim lalu.

Ujian pramusim di Bahrain bagaimanapun memberi bayangan McLaren mungkin bermula sebagai pasukan ketiga terpantas di belakang Mercedes dan Ferrari menjelang Grand Prix (GP) Australia hujung minggu ini.

Namun, Norris yang menewaskan Max Verstappen serta rakan sepasukan Oscar Piastri untuk menjulang kejuaraan dunia 2025 percaya kekuatan pembangunan McLaren mampu memastikan mereka kekal sebagai pencabar utama.

“Saya tidak fikir kami bermula di kedudukan sukar kerana walaupun anda kedua, ketiga atau keempat terpantas, itu masih posisi yang sangat baik untuk memulakan musim.

“Kami sudah buktikan sebelum ini bahawa pasukan ini mampu membuat peningkatan besar sepanjang musim dan saya yakin jika kami tidak bermula dengan sempurna, kami masih boleh bangkit melalui pembangunan serta naik taraf kereta,” kata Norris.

Sementara itu Piastri mengakui McLaren mungkin tidak memiliki kelebihan dominan seperti yang dipamerkan pada perlumbaan di laman sendiri tahun lalu.

“Daripada ujian pramusim, rasanya Mercedes dan Ferrari mungkin sedikit di depan kami dan Red Bull juga kuat, jadi kami perlu mencari lebih banyak prestasi untuk mengulangi tahap seperti musim lalu,” kata Piastri. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN