PETALING JAYA: Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara kekal mempertaruhkan pemain sedia ada pada Sukan SEA 2025, biarpun mereka gagal mempamerkan prestasi terbaik dalam dua kejohanan terakhir.
Barisan sedia ada, dijangka dikekalkan untuk diberi peluang bangkit membuktikan sesuatu di Sukan SEA 2025 di Bangkok, Thailand, sekali gus tanpa kejutan muka baharu termasuk pemain kacukan.
Jelas Nafuzi, keputusan itu dibuat bagi mengekalkan kestabilan dan keserasian skuad muda negara yang sebelum ini beraksi dalam Piala ASEAN B-23 dan Kelayakan Piala Asia B-23.
“Setakat ini kita akan kekal dengan kumpulan pemain yang sama. Mereka sudah melalui beberapa kejohanan bersama, jadi saya mahu teruskan kesinambungan itu.Oleh itu, kemungkinan tiada pemain baharu termasuk kacukan akan dipanggil buat masa ini,” katanya.
Tambah Nafuzi, tumpuan kini beralih kepada memperkemas taktikal dan memperkukuh kecergasan pasukan sebelum skuad negara memulakan kem latihan pusat pada penghujung November ini, sebagai persiapan menghadapi cabaran getir di Bangkok.
“Fokus kami lebih kepada memperkemas struktur permainan dan memastikan setiap pemain memahami peranan masing-masing. Kami mahu turun dengan keyakinan tinggi dan disiplin yang lebih mantap,” katanya.
Malaysia B-23 diundi dalam Kumpulan B bersama Vietnam, juara Piala ASEAN B-23 2025, dan Laos yang melengkapkan saingan kumpulan itu.
Untuk format kejohanan kali ini, tiga juara kumpulan dan satu naib juara kumpulan terbaik akan mara ke peringkat separuh akhir, menjadikan setiap perlawanan kumpulan amat penting bagi menghidupkan peluang ke podium.
Nafuzi menyeru anak buahnya untuk menebus kekecewaan Sukan SEA 2023, apabila gagal melepasi saingan kumpulan dan pulang tangan kosong.
“Kita tidak mahu ulang kesilapan lalu. Kali ini, persiapan dibuat lebih rapi dan menyeluruh kerana matlamat kami jelas iaitu mara sejauh mungkin dan buktikan kemampuan sebenar pemain muda negara,” katanya.-UTUSAN









