PASIR SALAK: Lelaki yang diserang buaya di Kampung Sungai Buaya, Kampung Gajah di sini pada hujung bulan lalu selamat melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihannya walaupun masih menanggung kesakitan akibat kecederaan yang dialami
Muhammad Zarith Hafizi, 28, melangsungkan pernikahan dengan Mashanani Hasan Nurkaisa, 28, Jumaat lalu disusuli majlis kenduri dan bersanding di rumah pengantin perempuan pada Sabtu.
Muhammad Zarith bersyukur kerana majlis perkahwinannya berjalan lancar walaupun dia masih menanggung kesakitan pada paha kanan akibat digigit reptilia tersebut.
Menurutnya, kerana kecederaan yang dialaminya, dia terpaksa berjalan menggunakan tongkat termasuk semasa majlis perkahwinannya.
“Saya kuatkan diri untuk berjalan walaupun menggunakan tongkat. Terima kasih kepada tetamu yang hadir dan juga mereka yang memberi sokongan kepada saya selepas kejadian yang hampir meragut nyawa saya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Dalam kejadian hujung bulan lalu, Muhammad Zarith diserang dan diheret buaya ketika menjala ikan di sungai di Kampung Sungai Buaya, Kampung Gajah di sini sebelum diselamatkan rakannya dalam kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi ketika menjala ikan dengan seorang rakannya.
Muhammad Zarith berkata, kecederaan pada paha kiri akibat digigit buaya masih belum sembuh sepenuhnya dan dia akan ke Hospital Teluk Intan setiap hari untuk membersihkan luka gigitan buaya.
Sementara itu, Mashanani bersyukur kerana majlis perkahwinan mereka berjalan seperti yang dirancang.
“Alhamdulillah, majlis perkahwinan kami berlangsung dengan lancar seperti yang dijadual. Suami saya masih mengalami kecederaan dan dia memang ada mengadu sakit pada luka yang dialaminya disebabkan dia berjalan.
“Saya bantu dia, saya juga berharap kecederaan yang dialaminya segera pulih,” katanya. – UTUSAN










