Masalah kesihatan tidak halang Izzat pamer kayuhan bertenaga

Masalah kesihatan tidak halang Izzat pamer kayuhan bertenaga

Muhammad Izzat Hilmi Abdul Halil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Meskipun bergelut dengan masalah kesihatan, pelumba Malaysia Pro Cycling, Muhammad Izzat Hilmi Abdul Halil tetap mempamerkan kayuhan bertenaga apabila menamatkan saingan di kedudukan keempat pada peringkat keenam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025, semalam.

Izzat, yang pada mulanya hanya menyasarkan kelompok lima terbaik, berjaya menutup perlumbaan dengan aksi meyakinkan biarpun berdepan cabaran di laluan terakhir menuju ke garisan penamat.

“Walaupun tak sihat, saya tetap cuba yang terbaik. Target saya hari ini lima terbaik, tapi kalau boleh nak podium. Alhamdulillah dapat nombor empat.

“Syukur alhamdulillah, terima kasih kepada rakan sepasukan yang banyak membantu dari awal hingga akhir perlumbaan.

“Pada 300 meter terakhir saya hampir hilang rentak kerana terpaksa membrek sedikit tetapi berjaya masuk semula dan pecut habis-habisan” Katanya selepas tamat perlumbaan.

Pelumba berusia 30 tahun itu mengakui sedikit terkilan kerana gagal menaiki podium, namun tetap positif menjelang baki dua lagi peringkat perlumbaan.

“Saya sudah cuba habis-habisan, memang rasa geram sikit sebab hampir dapat podium. Dari kedudukan keenam, saya berjaya ke depan dan akhirnya dapat nombor empat.

“Masih ada dua peringkat lagi. Kalau perlumbaan berakhir dengan pecutan beramai-ramai, saya akan cuba ambil posisi terbaik untuk naik podium,” jelasnya.

Pelumba kelahiran Batu Pahat, Johor itu juga dinobatkan selaku pelumba terbaik ASEAN dan Asia bagi peringkat keenam LTDL 2025.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN