LTdL 2025 hilang seri tanpa Malucelli

LTdL 2025 hilang seri tanpa Malucelli

Pelumba XDS Astana, Matteo Malucelli terpaksa menarik diri daripada LTdL 2025 selepas terlibat dalam kemalangan – UTUSAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Impian Matteo Malucelli untuk mempertahankan Jersi Oren selaku Raja Pecut Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 berakhir dengan penuh kepedihan selepas pelumba XDS Astana itu terpaksa menarik diri susulan kemalangan pada peringkat keenam dari Shah Alam ke Port Dickson,semalam.

Insiden itu berlaku pada kilometer 16.5 ketika hujan lebat, membabitkan beberapa pelumba termasuk wakil Uno-X Mobility, Erland Blikra.

Malangnya, hanya Blikra mampu bangkit, manakala Malucelli terpaksa mengangkat bendera putih lalu dibawa ke hospital dengan ambulans.

Pengarah Sukan XDS Astana, Mark Renshaw mengesahkan anak buahnya itu tidak lagi akan menyambung perlumbaan selepas mengalami hentakan kuat di bahagian kaki.

“Doktor akan lakukan X-ray pada bahagian bawah kakinya untuk tentukan tahap kecederaan. Tetapi yang pasti, dia sudah tamat perlumbaan,” katanya.

Renshaw turut menjelaskan pasukan kini akan menukar strategi dengan memberi tumpuan kepada saingan keseluruhan (GC).

“Kami mungkin alihkan fokus kepada Nicholas Vinokurov untuk buru beberapa saat bonus, selain terus berlumba bersama Aaron Gate,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi LTdL, Emir Abdul Jalal, menyifatkan penarikan diri pelumba Itali berusia 31 tahun itu sebagai kehilangan besar buat perlumbaan edisi ke-29.

“Dia juara Jersi Oren musim lalu dan sudah menang tiga peringkat tahun ini. Tetapi untuk kekal dalam perebutan jersi, seseorang pelumba wajib habiskan kesemua lapan peringkat. Jadi mata Malucelli terbatal secara automatik,” jelas Emir.

Malucelli, yang mencatat tiga kemenangan kemenangan peringkat di Pulau Langkawi, Pasir Puteh dan Kemaman, sekali gus menutup tirai kempen LTdL 2025 lebih awal, meninggalkan saingan pecut terbuka menjelang dua peringkat terakhir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN