Dua pelajar Autisme antara 715 calon SPM raih semua A di Kedah

Dua pelajar Autisme antara 715 calon SPM raih semua A di Kedah

HUDA Rasheeda Rosli (tengah) yang merupakan CBPK bersama rakan yang mengambil keputusan SPM 2025 di SMA Darusaadah di Titi Besi, Alor Setar. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dua Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang mengalami masalah pembelajaran antara yang meraih keputusan cemerlang peperiksaan itu yang diumumkan hari ini.

Yousef Mohd Hazril Munir yang sebelum ini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari, Sungai Petani dan Nur Zahra ‘Arifah Abd Rahman dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Islahiah, Mahang memperoleh keputusan 10A.

Pengarah Pendidikan Kedah, Abd. Rahim Mat berkata, turut cemerlang adalah calon dari SMA Darusaadah iaitu Huda Rasheeda Rosli yang merupakan CBPK kurang upaya fizikal.

“Bilangan CBPK yang menduduki peperiksaan SPM 2025 di Kedah seramai 133 orang, daripada jumlah itu seramai 110 orang atau 97.35 peratus layak dianugerahkan sijil SPM berbanding 77 orang pada 2024.

“Angka ini menunjukkan peningkatan seramai 33 orang atau 35.25 peratus. Kejayaan ini dicapai melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan antaranya bengkel sinergi SPM, program Langkah Gemilang MBPK dan bengkel khas pecutan akhir calon MBPK khusus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Sementara itu, Abd. Rahim berkata, daripada 29,993 keseluruhan calon yang mendaftar SPM tahun lalu, 25,453 daripadanya merupakan calon sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Katanya, seramai 715 orang memperoleh kombinasi gred A+, A dan A- dengan 24 daripadanya meraih gred A+ dalam semua mata pelajaran yang diduduki.

“Tiga calon SPM 2025 negeri Kedah telah mencapai keputusan 11A+ iaitu Muhammad Adeeb Qawiem Mohd Nizam dari Maktab Mahmud Langkawi; Ahmad Zaeem Md Zaki (SBPI Kubang Pasu) dan Liew Bo Xin (SMK Sin Min).

“Bilangan calon yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran turut meningkat iaitu seramai 3,610 orang berbanding 3,368 orang pada SPM 2024,” katanya.

Tambah beliau, kejayaan pelajar dalam bidang sukan yang turut cemerlang dalam SPM juga dicatatkan antaranya atlet bola jaring kebangsaan, Nur A’lisha A’frina Rosdi dari SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman yang memperolehi 6A 2B.

Manakala, atlet renang Kedah, K. Lavnesh dari SMK Taman Hi-Tech meraih 8A 2B dan Irfan Redzuan dari Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim yang merupakan johan ragbi MSSM memperolehi 7A 2B.

Abd. Rahim berkata, walaupun calon SPM 2025 berdepan pelbagai cabaran termasuk menjalani peperiksaan ketika bencana banjir, merekai tidak ketinggalan dari aspek pendidikan atas berkat usaha semua pihak termasuk sekolah, guru, ibu bapa dan warga pendidik yang lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN