KRW FC raih kemenangan sulung, benam Machan - Utusan Malaysia

KRW FC raih kemenangan sulung, benam Machan

JUNG Seungwon (kiri) mendakap kemas bola sekali gus menafikan peluang penyerang KRW FC Muhammad Rizuan Muda mencetak jaringan gol pada aksi Liga A1 Semi Pro di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan-IHSAN KRW FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kelantan Red Warriors (KRW FC) akhirnya merasai nikmat kemenangan sulung pada aksi Liga A1 Semi Pro musim ini apabila membenam Machan FC 4-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.

Kemenangan itu sudah pasti melegakan skuad bimbangan Irfan Bakti Abu Salim yang sebelum ini bergelut untuk meraih kemenangan pertama selepas mengharungi tujuh perlawanan.

Turun dengan misi memburu kemenangan, KRW FC terus dihantui dengan ketumpulan jentera penyudah apabila gagal menjaringkan gol meskipun memiliki deretan peluang yang terhidang.

Bagaimanapun, minit ke-41, Machan FC dirundung malang apabila Mohammad Alif Romli dilayangkan kad merah selepas dipercayai melakukan provokasi sehingga berlaku pergaduhan kecil di tengah padang.

Mohammad Alif yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu cuba menyerang pengadil perlawanan sekali gus memaksa pasukan keselamatan bertindak pantas membawanya ke bilik persalinan dan keputusan seri tanpa jaringan kekal hingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, KRW FC akhirnya memperoleh jaringan pertama menerusi tandukan Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali pada minit ke-57, selepas memanfaatkan sepakan penjuru yang diambil Emmanuel Mbarga.

Mbarga menambah jaringan kedua buat pasukannya pada minit ke-65 sebelum Mohd. Faiz Mohd. Nasir meledakan gol ketiga KRW FC di minit ke-84 .

Penyokong tuan terus berpesta selepas itu apabila Mbarga menjaringkan gol keempat pada masa kecederaan melalui sepakan percuma di luar kotak penalti.

Keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan KRW FC berada di kedudukan kesepuluh liga dengan mengumpul tujuh mata selepas mengharungi tujuh perlawanan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN