PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) diminta memantau Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) yang bakal berlangsung supaya cubaan untuk mengekalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat digagalkan.
Bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau sudah menghantar surat rasmi ke Ketua Pengarah ROS supaya jabatan itu memantau dan memastikan prosedur yang betul dipatuhi ketika mesyuarat itu berlangsung.
Beliau mempersoal sama ada Muhyiddin sedang cuba menyembunyikan surat yang dihantar oleh Pas kepadanya sebelum ini.
“Saya dengar bahawa surat itu mengucapkan terima kasih atas jasa sebagai Pengerusi PN sebelum ini. Surat itu secara prinsipnya boleh difahami sebagai penerimaan oleh Pas akan peletakan jawatan Muhyiddin.
“Mungkinkah penjilat-penjilat keliling Muhyiddin menasihatkan agar surat itu disembunyikan buat sementara waktu untuk memberi ruang mereka melobi parti-parti komponen agar menolak perletakan jawatan Muhyiddin? Ada beberapa orang penjilat yang giat berjumpa sana sini sejak beberapa hari lalu,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, proses mesyuarat MT PN yang bakal berlangsung itu penting untuk masa depan pembangkang di Malaysia perlu dipatuhi.
“Saya harap ROS akan perhatikan gerak geri Muhyiddin dan penjilatnya,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, peletakan jawatan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Dr Radzi Jidin sebagai Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan PN tidak perlukan pengesahan MT, hanya pengesahan terhadap peletakkan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN sahaja.
“Muhyiddin sudah umumkan bahawa dia sendiri mahu perletakan jawatannya bermula 1 Januari lalu. Maka timbul persoalan adakah Muhyiddin boleh hadir mempengerusikan mesyuarat MT PN yang akan datang, kalau dia sepatutnya tidak hadir tetapi masih hadir, maka akan timbul persoalan adakah mesyuarat itu sah.
“Mengesahkan perletakan jawatan Pengerusi harus menjadi agenda pertama mesyuarat MT PN akan datang. Kalau Muhyiddin masih nak hadir juga, apabila perletakan jawatan disahkan, sebelum masuk agenda kedua, Muhyiddin perlu keluar mesyuarat,” katanya.
Tambahnya, lebih baik untuk Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengeluarkan notis panggilan mesyuarat tanpa menjemput Azmin dan Radzi.
“Muhyiddin pula tak sesuai mempengerusikan mesyuarat sebab agenda itu mengenai dia dan sudah pasti ada conflict of interest. MT PN boleh memilih salah seorang Timbalan Pengerusi untuk mempengerusikan perbincangan itu.
“Saya juga tidak yakin Muhyiddin dan penjilatnya akan menghormati prosedur, mereka desperate nak supaya Muhyiddin kekal,” katanya.-UTUSAN










