DENGAN palet monokrom yang ringkas namun berkarakter, dapur milik Mohamad Sabry Mohamad Azli membuktikan nilai estetik tidak memerlukan warna banyak.
Hanya berbekalkan dua tona asas iaitu putih dan hitam, ruang dapur basahnya tampil memukau dengan sentuhan moden ala Inggeris yang kemas dan abadi.
Katanya, dapur bukan sekadar ruang utiliti untuk memasak, malah menjadi nadi rumah yang menyatukan fungsi dan estetika, sekali gus mewujudkan suasana selesa untuk kegunaan seharian.
Transformasi dapur ini dirancang agar kekal segar, moden dan tidak lapuk ditelan zaman.
Putih yang mendominasi ruang berfungsi sebagai elemen utama untuk memantulkan cahaya semula jadi, menjadikan dapur kelihatan cerah walaupun pada hari mendung atau musim hujan.
Sebagai pelengkap, sentuhan hitam pada bahagian tertentu seperti kabinet dan perincian dapur mengangkat keseluruhan ruang agar tampak lebih elegan dan eksklusif.
Bagi memastikan konsep ini terserlah, setiap peralatan dapur dan aksesori dipilih dengan teliti agar sepadan dengan tema monokrom.
Hasilnya, kontras yang terhasil bukan sahaja dramatik, malah memberikan keseimbangan visual yang kemas dan sofistikated.
Dapur ini turut menitikberatkan aspek praktikal. Susun atur terancang, ruang penyimpanan mencukupi serta permukaan kerja yang luas menjadikan pergerakan di dapur lebih lancar dan ergonomik.
Setiap sudut dimanfaatkan dengan baik tanpa menjejaskan keindahan keseluruhan ruang.

“Walaupun saiz dapur basah ini tidak terlalu besar, konsep hiasan baharu membuatkan kami sekeluarga selesa menggunakannya.
“Sama ada untuk mengemas atau menyediakan hidangan harian, ruang ini tidak terasa sempit dan mengganggu pergerakan,” katanya.
Sentuhan moden ala Inggeris ini juga memberikan pengalaman ruang berbeza.
Sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke dapur tersebut pasti merasai suasana seolah-olah berada di kediaman bergaya barat, hasil gabungan warna neutral dan kemasan yang bersih serta tersusun.
Proses transformasi dapur ini dilakukan secara berperingkat dengan perancangan rapi.
Mohamad Sabry memperuntukkan bajet sekitar RM10,000 hingga RM15,000 bagi mengubah sepenuhnya dapur basahnya, termasuk pemasangan kabinet, permukaan kaunter serta pemilihan peralatan dapur yang sepadan dengan konsep moden English.
Pemilihan bahan berkualiti serta penggunaan warna neutral seperti putih dan hitam bukan sahaja memastikan dapur ini tahan lama, malah membantu menjimatkan kos penyelenggaraan pada masa hadapan.
Kini, dapur ini bukan sekadar ruang memasak, malah menjadi tempat kegemaran keluarga untuk berkumpul, berbual dan berkongsi masa bersama.










