MANDALIKA: Pengarah Sukan MotoGP, Carlos Ezpeleta mendedahkan bahawa mereka tidak bercadang untuk menambah jumlah perlumbaan melebihi 22 dalam kalender masa depan dan komited bagi memastikan kelas Moto2 dan Moto3 pada semua acara.
Sejak kalendar MotoGP berkembang melebihi 18 perlumbaan dan kekal untuk sebahagian besar pada 2010-an, kebimbangan telah timbul mengenai tempoh musim dan kebolehlestarian jadual dengan lebih 20 perlumbaan.
Kebimbangan itu semakin meningkat selepas penambahan perlumbaan pecut pada 2023 yang menyebabkan pelumba MotoGP kini menghadapi lebih daripada 40 perlumbaan setiap musim.
Liberty Media, yang mengambil alih majoriti dalam Dorna awal tahun ini, menimbulkan spekulasi bahawa kalender MotoGP mungkin berkembang melebihi 22 perlumbaan pada 2025 berdasarkan pengembangan kalender Formula Satu (F1) sejak Liberty membeli siri itu pada 2016.
Namun, Ezpeleta menafikan bahawa MotoGP berhasrat untuk menambah jumlah perlumbaan setiap musim.
“Kami langsung tidak mempunyai visi untuk melebihi 22 perlumbaan,” kata Ezpeleta.
Khabar angin mula tersebar sebelum bermulanya siri perlumbaan Asia musim 2025 di Jepun yang mencadangkan bahawa kelas Moto2 dan Moto3 akan semakin dipinggirkan dalam paddock MotoGP sehingga mereka tidak akan dibawa ke perlumbaan di luar Eropah.
Namun, Ezpeleta mengesahkan bahawa Moto2 dan Moto3 akan terus hadir di setiap perlumbaan, dengan syarat bahawa pasukan-pasukan itu sendiri mahukannya.
“Dalam semua perbincangan yang pernah kami adakan dengan pasukan Moto3 dan Moto2, mereka sentiasa mengatakan bahawa kehadiran di setiap acara adalah penting bagi mereka dan kami tidak akan dengan sengaja tidak mahu mereka hadir di sesuatu acara.
“Itu akan jadi perbincangan berbeza jika pasukan Moto3 dan Moto2 datang dan berkata ‘Kami tidak lagi mampu untuk menyertai 22 perlumbaan’. Itu akan menjadi perbincangan lain dan kami akan cuba membantu mereka untuk kekal hadir di semua acara,” katanya. – AGENSI

								
											








