PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah untuk melangkah ke separuh akhir Piala FA musim ini apabia menewaskan Penang FC 5-1 secara agregat.
Dalam aksi timbal balik suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) malam ini, Harimau Selatan menang 3-0 sekali hasil jaringan Bergson Da Silva, Jonathan Silva dan Eddy Israfilov.
Turun dengan kemenangan tipis 2-1 pada aksi suku akhir pertama, anak buah Xisco Munoz tampil garang menyerang kubu pertahanan Harimau Kumbang.
Pada minit ke-38, JDT berada di hadapan selepas Bergson tidak melepaskan peluang terhidang hasil bola muntah selepas rembatan Ignacio Mendez yang gagal ditampan Mohamad Ramdhan.
Dua minit berselang, Silva menggandakan kedudukan buat JDT selepas pengadil mengesahkan jaringannya hasil bantuan video bantuan pengadil (VAR).
Sebelum berakhir babak pertama, Israfilov menanduk mudah sepakan sudut Arif Aiman Hanapi untuk gol ketiga skuad Harimau Selatan.
Tiada tambahan jaringan pada babak kedua, biarpun tuan rumah melakukan beberapa asakan menarik ke kubu Harimau Kumbang.
Di separuh akhir nanti, JDT akan berdepan Kuching City selepas skua kendalian Aidil Sharin Sahak menumpaskan Terengganu dengan agregat 5-3.- UTUSAN

 
								 
											









