LIVERPOOL: Arne Slot mempertahankan keputusannya menurunkan barisan kedua selepas tersingkir daripada saingan Piala Liga apabila tewas 0-3 kepada Crystal Palace di Anfield, semalam.
Kekalahan itu menyaksikan The Reds meneruskan deretan keputusan buruk tewas enam daripada tujuh perlawanan terakhir dalam semua kejohanan, termasuk empat kekalahan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Dalam aksi itu, Slot membuat 10 pertukaran pemain, dengan tonggak utama seperti Virgil van Dijk dan Mohamed Salah langsung tidak disenaraikan dalam skuad.
Peraturan Slot menurunkan barisan pemain muda, nyata memakan diri apabila mudah ditewaskan Palace yang mempunyai rekod baik selepas menundukkan Liverpool sebanyak tiga kali musim ini.
Ismaila Sarr meledak dua gol pada separuh masa pertama sebelum Yeremy Pino menambah jaringan ketiga pada lewat permainan selepas pemain gantian Liverpool, Amara Nallo, dilayangkan kad merah.
“Ia bukan standard Liverpool untuk tewas enam daripada tujuh perlawanan,” kata Slot, yang menjadikan jadual padat minggu ini sebagai alasan pemilihan barisan pemainnya.
Liverpool kini berdepan misi menamatkan rentetan kekalahan EPL apabila bertemu Aston Villa yang sedang berada dalam prestasi baik pada Sabtu ini.
Real Madrid pula akan bertandang ke Anfield dalam saingan Liga Juara-Juara pada Selasa depan sebelum Liverpool berkunjung ke Manchester City pada 9 November.
“Saya tidak boleh meletakkan pemain utama dalam situasi sebegini. Kami ada perlawanan malam ini, kemudian hanya dua hari rehat sebelum bertemu Aston Villa, dua hari lagi bertemu Real Madrid dan beberapa hari selepas itu menentang Manchester City.
“Setiap orang boleh mempunyai pendapat masing-masing, tetapi dengan skuad yang ada, mungkin hanya 15 atau 16 pemain utama tersedia, inilah keputusan yang saya buat,” katanya.
Sementara itu, Crystal Palace yang juga juara bertahan Piala FA mengintai peluang menambah koleksi kejuaraan selepas diundi bertemu Arsenal di gelanggang lawan pada suku akhir.- AGENSI

 
								 
											









