Irfan Bakti belum tekan butang panik, tetap yakin kemampuan KRW

Irfan Bakti belum tekan butang panik, tetap yakin kemampuan KRW

AKSI Liga A1 Semi Pro antara Kelantan KRW dan JDT II di Kota Bharu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pengendali Kelantan Red Warriors FC (KRW), Irfan Bakti Abu Salim belum mahu menekan butang panik walaupun kecewa apabila pasukan masih gagal mencari kemenangan selepas enam perlawanan dalam saingan Liga A1 Semi Pro.

Beliau berkata, kedudukan pasukan dalam carta liga setakat ini bukan menjadi fokus utama kerana masih ada banyak perlawanan bakal dilalui untuk mencari ruang memperbaiki keadaan.

“Saya tidak kisah mengenai kedudukan pasukan (dalam carta liga) sekarang ini kerana saya tahu, kita masih ada 24 perlawanan lagi. Saya masih ada keyakinan terhadap barisan pemain kita. Mereka boleh bermain tetapi sentuhan penyudah itu tiada.

“Saya beritahu mereka (pemain) bahawa kita tidak boleh berterusan seri dan kalah, terutama apabila memasuki pusingan kedua nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perlawanan Liga A1 Semi Pro di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.

Irfan Bakti berkata, episod sama berulang ketika pasukan kendaliannya itu terikat seri tanpa jaringan dengan Johor Darul Taazim II (JDT II) malam tadi apabila banyak peluang dihasilkan gagal diterjemah menjadi jaringan.

“Corak permainan kita bukan teruk sangat. Main cantik tetapi penyudahnya tiada dan kita ada peluang terutama di separuh masa pertama. Jadi bila tidak dapat menjaringkan gol, maka serilah kalau tidak kalah.

“Masalah kita sekarang adalah ketiadaan ‘goal poacher’ atau penjaring gol dan jika berterusan begini, nampaknya kita terpaksa tunggu jendela perpindahan kedua dibuka pada Disember nanti untuk ambil penyerang baharu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih JDT II, Josep Ferre gembira melihat semangat juang, komitmen dan disiplin tinggi barisan pemainnya walaupun kecewa apabila sekadar mengutip satu mata di samping terpaksa bermain dengan kekurangan seorang pemain dalam 10 minit terakhir

“Saya kecewa kerana gagal mengutip tiga mata penuh kerana kami melalui seharian perjalanan panjang ke Kota Bharu untuk mencari kemenangan. Kita mempunyai penguasaan terutama pada separuh masa kedua sehinggalah berlakunya insiden kad merah ke atas G. Pavithran.

“Selepas itu barisan pemain JDT II melalui detik memeritkan sepanjang 10 minit terakhir untuk menahan serangan bertali arus daripada pasukan tuan rumah,” katanya.

Tambahnya, perlawanan malam tadi turut menyaksikan barisan pemain JDT II lebih banyak berlari tanpa bola yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan ia menyebabkan mereka menderita, termasuk mengalami kecederaan seperti dilalui Jean Franco Grania.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN