Hakim Danish sah ke Moto3, musim depan

Hakim Danish sah ke Moto3, musim depan

Hakim Danish bersama ketua kru pasukannya menjelang sesi kelayakan Moto3 pada Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, Sepang, hari ini. - Ihsan SIC Racing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Hakim Danish Ramli bakal bergelar pelumba tetap Moto3, selepas pasukan MSi Racing Team mengesahkan sendiri pelumba muda negara itu akan menyertai Kejuaraan Motosikal Dunia, musim depan.

Pengurus Sukan MSi Racing, Oscar Manzano berkata, pihaknya berbesar hati untuk mengumumkan Hakim Danish akan bersaing dalam Kejuaraan Dunia bagi kelas Moto3 bagi musim 2026.

“Seperti yang pernah kami tegaskan sebelum ini, matlamat kami adalah untuk membawa pelumba kami meniti tangga ke MotoGP,” katanya dalam satu kenyataan di akaun media sosial, Facebook di sini, hari ini.

Menurut beliau, MSi Racing Team telah membina projek khas bersama Hakim Danish, menjadikan anak muda itu satu-satunya pelumba mereka yang bersaing di dalam FIM JuniorGP.

“Justeru, kami amat berbangga dengan lonjakan ini kerana ia selari dengan falsafah pasukan untuk mengiringi pelumba kami daripada kategori paling rendah sehinggalah ke pentas tertinggi,” katanya.

Sementara itu, pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, sejujurnya, beliau amat gembira dapat kembali bekerjasama dengan MSi.

“Sejak 2023 hingga kini, ia merupakan satu perjalanan yang panjang bersama Jordi dan Oscar. Terima kasih kerana mempercayai pelumba Malaysia, terutamanya potensi Hakim Danish.

“Saya yakin kemampuan Hakim Danish dan bersama pasukan, kita mampu meraih keputusan yang baik musim hadapan. Terima kasih kepada semua rakan penaja, SIC serta KBS yang sentiasa bersama kami,” katanya.

Hakim Danish pula berkata, dia berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan dan berita itu satu motivasi untuknya beraksi lebih baik menjelang perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia, esok.

“Impian saya untuk ke Kejuaraan Dunia menjadi kenyataan, saya berjanji akan memberikan komitmen 100 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN