SEPANG: Pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin mendedahkan pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli bakal menandatangani kontrak serba lengkap meliputi gaji serta bonus seperti mana pelumba profesional lain nikmati bersama MT Helmets-MSi.
Beliau berkata, bagi mendapatkan syarat-syarat yang adil untuk anak muda berusia 18 tahun itu, pihaknya mengambil masa selama enam bulan bagi memuktamadkan kontrak selama setahun tersebut.
“Mengikut syarat yang diberi, Hakim Danish menerima kontrak profesional dengan tawaran gaji beserta bayaran bonus, sementara mengenai penaja, saya tidak bimbang kerana dia akan disokong MT Helmets-MSi,” katanya kepada pemberita selepas sesi kelayakan Moto3 pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini, semalam.
Menurut bekas pelumba Moto2 dan Moto3 negara itu, Hakim Danish akan mengisi kekosongan tempat yang ditinggalkan pelumba Sepanyol, Angel Piqueras yang kini berada di tangga kedua keseluruhan Moto3 dan akan dinaikkan pangkat ke kelas Moto2, musim depan.
Katanya lagi, tempat Piqueras itu menjadi rebutan pelumba-pelumba lain dan ia merupakan satu-satunya kekosongan yang tinggal bagi slot Moto3.
“Jadi, saya tak boleh lengahkan lagi, kita kena cepat untuk tandatangan kontrak, tetapi, dalam masa sama saya mahukan kontrak yang lebih adil buat Hakim Danish.
“Sejak di Misano lagi rundingan kontrak itu telah berjalan, tetapi, ia hanya diputuskan apabila pemilik pasukan, Jordi dan Oscar datang ke Malaysia untuk memuktamatkan rundingan berkenaan,” katanya.
Zulfahmi berkata, Hakim Danish bakal mengharungi jadual padat dengan 22 perlumbaan menantinya berbanding 14 perlumbaan pada Piala Red Bull MotoGP Rookies dan FIM JuniorGP.
“Musim depan juga, MT Helmets-MSi yang merupakan pasukan Sepanyol bakal hadir tanpa kelibat pelumba tempatan, jadi, perhatian daripada media mereka berkurangan, justeru, saya mahu Hakim Danish bekerja keras bagi mendapatkan keputusan yang baik,” tegasnya.
Mengulas pula mengenai keputusan sesi kelayakan Moto3, Zulfahmi berkata, Hakim Danish kecewa dengan kedudukan ke-14 yang dicatatnya.
“Tetapi ini adalah pengalaman yang baik untuknya, apa yang Hakim Danish telah lakukan sejak sesi latihan bebas pertama lagi cukup bagus dan untuk perlumbaan, esok, mana tahu keajaiban berlaku, walaupun sukar untuk catat podium,” katanya.-UTUSAN










