Elak hukuman tambahan FIFA

Elak hukuman tambahan FIFA

FIFA mengumumkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya digantung termasuk dari kiri, Holgado, Irazabal, Figueiredo dan Machuca.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kesan berantai bakal menghantui bola sepak Malaysia berikutan keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang mendenda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta menggantung tujuh pemain warisan negara.

Bekas Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed menegaskan, sebarang langkah tindak balas terhadap hukuman yang dikenakan ke atas badan induk itu perlu diteliti secara mendalam bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.

Katanya, setiap keputusan yang diambil perlu berasaskan penelitian rapi kerana sebarang tindakan tergesa-gesa hanya akan mengundang kesan negatif terhadap landskap bola sepak tempatan.

Firdaus yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) yakin FAM kini sedang berusaha mencari penyelesaian terbaik berhubung isu tersebut.

“Saya yakin barisan di FAM itu tengah berusaha untuk memastikan tiada lagi tambahan hukuman yang akan dikenakan oleh FIFA. Itu harapan kita sebagai ahli gabungan sebab apabila berlaku hukuman, di peringkat persatuan negeri dan ahli gabungan pun terkesan,” katanya.

Menurut Mohd. Firdaus, FAM perlu mengambil serius tentang perkara berkenaan dan menjadikan hukuman FIFA itu sebagai pengajaran supaya selepas ini tidak mudah berkompromi dengan pihak luar.

“Benda ini serius dan saya harap FAM mengambil iktibar dengan apa yang berlaku pada hari ini. Mungkin ini menjadi pengajaran kepada mereka supaya benda ini kita kena teliti, kena perhalusi betul-betul.

“Saya tidak pasti peranan Malaysia NT (pengurusan pasukan kebangsaan) dan peranan FAM sebab saya tidak terlibat. Pada saya sama ada Malaysia NT atau tidak, akhirnya FAM harus dipertanggungjawabkan sebagai badan induk,” jelasnya.

Terdahulu, FAM didenda oleh FIFA manakala tujuh pemain warisan yang dikenakan tindakan sama malah turut digantung daripada aktiviti bola sepak selama setahun.

Firdaus akui usaha yang diwujudkan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail adalah perkara baik tetapi apabila wujudnya dakwaan kesilapan teknikal, FAM kena bertanggungjawab atas apa yang berlaku.

“TMJ sudah beri segalanya, jadi pada saya kita kena cari satu penyelesaian supaya bola sepak kita tidak dipandang enteng oleh mana-mana negara terutamanya FIFA. Kita tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak tetapi pada akhirnya FAM kena bertanggungjawab,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN