MADRID: Pengurus Ducati, Davide Tardozzi mengakui pasukannya masih belum memahami apa yang berlaku sepanjang di Grand Prix (GP) Indonesia terhadap nasib malang menimpa pelumba mereka, Francesco Bagnaia.
Di Mandalika, Bagnaia mengalami prestasi paling buruk apabila bermula dengan kelayakan di tempat ke-16, menamatkan perlumbaan pecut di tempat terakhir sebelum terjatuh dalam perlumbaan utama.
Apa yang paling mengelirukan semua itu berlaku sejurus selepas Bagnaia mendominasi GP Jepun, memenangi kedua-dua perlumbaan dari petak utama dengan jentera GP25.
“Bagnaia berdepan hujung minggu yang sangat sukar selepas hujung minggu yang luar biasa di Jepun. Kami benar-benar sedang memikirkan apa yang berlaku dan Gigi (Pengurus Besar Ducati, Gigi Dall’Igna) serta jurutera kami sudah memberi fokus kepada perkara ini.
“Kami percaya dengan kelajuan Bagnaia dan kami perlu cari punca kenapa bencana ini berlaku pada hujung minggu lalu tetapi kami semua memberi tumpuan untuk kembali berada di kedudukan teratas di Phillip Island, yang merupakan salah satu litar kegemaran Bagnaia.
“Minggu ini akan menjadi minggu yang sangat sukar untuk jurutera kami fikirkan apa yang telah berlaku di sini,” katanya.
Ditanya sama ada mereka mempunyai sebarang idea tentang apa yang menyebabkan perubahan prestasi yang begitu drastik bagi juara dunia dua kali itu antara Motegi dan Mandalika, Tardozzi menjawab:
“Sudah tentu tidak, kerana jika kami tahu apa yang berlaku, kami sudah pun menyelesaikannya. Tetapi kami masih belum selesaikan dan kami sedang memberi tumpuan untuk lakukannya sebelum Phillip Island.
Dengan rakan sepasukan yang juga juara dunia, Marc Marquez, cedera dan tidak akan beraksi untuk dua pusingan akan datang, nasib Bagnaia akan menjadi tumpuan utama di Phillip Island dan Sepang. – AGENSI