BANGI: Sebanyak RM3.28 juta diperuntukkan bagi membangunkan Model Pemantauan Kualiti Udara, Community Multiscale Air Quality (CMAQ) sebagai persediaan menghadapi pencemaran udara termasuk jerebu rentas sempadan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup berkata, sistem tersebut dibangunkan menerusi kerjasama antara Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Katanya, sistem berkenaan dibangunkan bagi membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam membuat keputusan strategik.
“Kita kini mempunyai Sistem Ramalan Kualiti Udara Nasional yang lebih canggih. CMAQ akan menjadi ‘mata’ kita dalam mengesan zarah pencemaran di ruang udara.
“Inilah komitmen kerajaan dalam memanfaatkan sains dan teknologi demi kesejahteraan rakyat agar mereka menerima maklumat kualiti udara yang pantas, tepat, dan boleh dipercayai,” katanya berucap sempena Sambutan Hari Meteorologi Sedunia 2026 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak UKM, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip; Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh dan Pengarah Institut Perubahan Iklim (IPI) UKM, Prof. Madya Dr. Zaini Sakawi.
Tambah beliau, CMAQ turut menyediakan ramalan dan laporan kualiti udara secara masa nyata bagi memantau tahap pencemaran yang berlaku di sesuatu kawasan.
“Seperti kita sedia maklum, negara kita merupakan antara mangsa kesan-kesan jerebu, jadi CMAQ ini memberikan ramalan dan juga laporan secara `real time’ keadaan pencemaran udara yang sedang berlaku.
“Ia sudah menjadi masalah yang berlaku pada tiap-tiap tahun dan kebanyakannya di luar kawalan kita. Maka dengan CMAQ, ia membantu memberikan data kepada orang ramai supaya kita semua boleh buat persediaan yang rapi dan baik,” katanya. – UTUSAN










