De Kleijn ungguli peringkat keenam LTdL 2025

De Kleijn ungguli peringkat keenam LTdL 2025

ARVID De Kleijn (tengah) menjuarai peringkat keenam LTdL 2025 diikuti tempat kedua, Erlend Blikra (kiri) dan ketiga, Manuel Penalve Aniorte.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Rezeki jelas menyebelahi pelumba Tudor Pro Cycling, Arvid De Kleijn apabila kemalangan yang menimpa Raja Pecut edisi lalu, Matteo Malucelli, membuka ruang buatnya meraih kemenangan pada peringkat keenam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025, semalam.

Insiden di kilometer 16.5 daripada laluan sejauh 123.5 kilometer dari Shah Alam ke Port Dickson itu menyaksikan Malucelli (XDS Astana) terpaksa menarik diri sekali gus menamatkan kempen lebih awal.

De Kleijn, yang digelar ‘Little Gorilla’, tidak mensia-siakan peluang keemasan tersebut untuk menamatkan saingan beramai-ramai dengan catatan masa 2 jam 32 minit 55 saat, menewaskan Erlend Blikra dari pasukan Uno X Mobility dan Manuel Penalver Aniorte dari Polti VisitMalta.

“Pertama sekali, saya simpati dengan Malucelli. Saya sebenarnya mahu terus bersaing dengannya, tetapi perlumbaan sentiasa penuh kejutan.

“Semoga dia cepat sembuh. Peringkat ini sendiri agak kelam-kabut seperti yang kami jangkakan” katanya.

Kemenangan itu adalah yang kedua buat pelumba Belanda berusia 30 tahun itu selepas mengungguli peringkat kedua dari Padang Besar ke Kepala Batas.

Ketiadaan Malucelli sekali gus merancakkan perebutan jersi jingga apabila Blikra kini mendahului dengan 45 mata, berkelebihan tiga mata ke atas De Kleijn, manakala Penalver mengintai di tangga ketiga dengan 37 mata.

Bagaimanapun, jersi hijau selaku pendahulu keseluruhan kekal milik Joris Delbove (TotalEnergies) dengan masa terkumpul 18:59:29s, hanya enam saat di depan Anders Halland Johannessen (Uno X Mobility).

Sementara itu, persaingan jersi polka dot terus sengit apabila Patrick Eddy ( Picnic PostNL) dan Jambaljamts Sainbayar (Burgos Burpellet BH) terikat 15 mata, manakala Nicolas Vinoukorov (XDS Astana) mengekalkan jersi putih sebagai pelumba terbaik Asia.

Hari ini, saingan memasuki peringkat terpanjang edisi kali ini iaitu sejauh 214.9km dari Melaka ke Medini dengan tiga zon pecutan di Sungai Rambai, Semerah dan Pontian yang dijangka sekali lagi menguji ketahanan peloton.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN