City belum angkat ‘bendera putih’

City belum angkat ‘bendera putih’

PEP GUARDIOLA - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola optimis pasukannya masih berpeluang memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini walaupun ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu carta liga, Arsenal.

Guardiola menegaskan terlalu awal untuk menilai perebutan kejuaraan selepas lapan perlawanan dan beranggapan pasukan di belakang Arsenal masih mampu untuk melakar kejutan untuk memintas skuad kendalian Mikel Arteta.

“Selepas dua atau tiga perlawanan, ada yang kata kami sudah ‘tamat’. Sekarang, orang pula cakap Liverpool sudah ‘tamat’ selepas tiga kekalahan berturut-turut.

“Saya hanya boleh katakan yang kami akan kembali. Saya sudah banyak kali sebut, pakar dan bekas pemain bola sepak selalu fikir mereka tahu apa yang akan berlaku selepas lima perlawanan, tapi saya sendiri tak mampu ramal begitu,” katanya menjelang aksi berdepan Aston Villa, malam ini.

Juara enam kali EPL dalam tempoh tujuh musim itu kini berada di tangga ketiga liga dan Guardiola percaya saingan sebenar hanya akan dapat dilihat selepas lebih banyak perlawanan dimainkan.

“Biasanya selepas 10 hingga 15 perlawanan, barulah kita tahu siapa pesaing sebenar. Buat masa ini, Liverpool dan Arsenal di atas, tetapi mungkin akan ada pasukan lain mencabar, dan saya harap kami juga berada di sana,” katanya.

Dari segi kecergasan pemain, Guardiola mengesahkan tiada perubahan besar dengan beberapa tonggak utama seperti bekas pemenang Ballon d’Or, Rodri, masih belum pulih daripada kecederaan hamstring.

Sementara itu, Nico Gonzalez yang mengalami kecederaan kaki ketika menentang Villarreal dalam aksi Liga Juara-Juara tengah minggu, masih dalam pemerhatian pasukan perubatan.

“Saya belum jumpa doktor lagi, jadi kami akan tunggu dan lihat hari ini atau esok bagaimana keadaannya,” kata Guardiola.

Dalam masa sama, Guardiola turut memberi pandangan mengenai trend lontaran jauh ke dalam yang semakin popular dalam EPL ketika ini.

“Kalau kami mahu guna taktik itu, kami perlu beli pemain dengan bahu dan lengan yang kuat. Dulu kami ada (Kyle) Walker tidak menggunakannya.

“Ia satu senjata yang digunakan banyak pasukan, Brentford, Tottenham, Arsenal. Jadi, kami perlu belajar untuk menyesuaikan diri,” katanya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN