BSMM siap siaga hampir 100,000 sukarelawan hadapi Monsun Timur Laut

BSMM santuni 120 anak yatim, pelajar migran berbuka puasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KUALA LUMPUR: Ibu Pejabat Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) mengesahkan seramai hampir 100,000 sukarelawan di seluruh negara berada dalam kesiapsiagaan penuh bagi menghadapi gelombang Monsun Timur Laut (MTL) seterusnya.

Kesemua sukarelawan itu telah menjalani latihan asas bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan secara efektif kepada masyarakat yang terkesan di peringkat negeri.

Menurut Setiausaha Agung BSMM, Datuk Danial Iskandar Abdul Rahman, selain sokongan tenaga manusia, BSMM turut menggerakkan aset logistik ke negeri-negeri yang sering dilanda banjir seperti Kelantan dan Terengganu.

Jelasnya, tumpuan bantuan kini turut diberikan kepada mangsa banjir di Sabah yang baru sahaja menerima kesan fenomena cuaca tersebut.

“Antara aset utama yang dikerahkan termasuklah bot, kenderaan pacuan empat roda (4×4) dan ambulans bagi menyokong operasi menyelamat serta pemindahan mangsa.

“Kami juga telah menerima sumbangan daripada pelbagai pihak untuk menyediakan perkhidmatan kemanusiaan seperti bakul makanan serta kit pembersihan dan kit higien yang mengandungi barangan keperluan asas seperti tuala wanita, ubat gigi dan sabun,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya lagi, BSMM tidak hanya memfokuskan kepada bantuan fizikal malah turut menyediakan khidmat sokongan kesihatan mental menerusi Mental Health Psychosocial Support (MHPSS).

“Mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dalam jangka masa lama sering terkesan dari segi emosi terutamanya kanak-kanak, warga emas dan ibu mengandung.

“Justeru, saringan kesihatan dan sokongan psikologi diberikan bagi membantu mereka mendepani situasi sukar ini,” katanya.

Dalam pada itu, BSMM turut memperkukuh kolaborasi bersama sektor korporat termasuk rakan penyumbang utama seperti Nestle yang menyalurkan bantuan dalam bentuk tunai dan barangan makanan untuk keperluan mangsa di PPS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN