PHILLIP ISLAND: Insiden pelanggaran burung camar tidak menjejaskan Marco Bezzecchi untuk mengejar dan memintas Raul Fernandez bagi memenangi perlumbaan pecut di Grand Prix (GP) Australia, hari ini.
“Saya terlanggar seekor burung besar, malangnya untuk aya dan juga untuk burung itu,” kata Bezzecchi selepas perlumbaan.
Bezzecchi melanggar burung camar tersebut semasa meninggalkan grid untuk memulakan pusingan pemanas badan, dan bangkai burung itu tersangkut pada bahagian aero motornya.
Namun, kelajuan Bezzecchi yang lebih unggul menjadi penentu dan selepas memintas dengan berbaki empat pusingan, dia menamatkan perlumbaan dengan kemenangan selesa tiga saat di hadapan pelumba Trackhouse, Fernandez.
Pedro Acosta melengkapkan podium di tempat ketiga dengan Jack Miller keempat dan Fabio Di Giannantonio di tempat kelima.
“Saya rasa sangat tenang di atas motor. Saya nampak Marco mempunyai kepantasan yang sangat baik. Saya sudah cuba sedaya upaya tetapi apabila saya sedar saya tidak dapat ikut rentak Marco, saya hanya cuba untuk bertahan,” kata Fernandez. – AGENSI