SEPANG: Pelumba Itali, Marco Bezzecchi perlu memanfaatkan kesempatan ketiadaan juara dunia, Marc Marquez untuk menguasai perlumbaan bagi kelas utama MotoGP pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), esok.
Semalam, pelumba yang mewakili pasukan Aprilia Racing itu berada di kedudukan kelima pada sesi latihan bebas pertama (FP1) menerusi catatan masa sepusingan 2 minit 00.591 saat (s).
Pelumba Sepanyol, Fermin Aldeguer muncul sebagai pelumba terpantas dengan lakaran masa 2:00.199s, manakala, tempat kedua menjadi milik Francesco Bagnaia (2:00.455s) dari Itali dan Joan Mir (2:00.455s) dari Sepanyol di kedudukan ketiga.
Tanpa Marquez di Sepang, dengan jentera Aprilia yang dilihat pesaing terdekat Ducati, Bezzecchi disifatkan sebagai pencabar terkuat, walaupun dalam sidang media, kelmarin, pelumba berusia 27 tahun itu lebih selesa bersikap merendah diri.
“Saya tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalan ini. Ia terlalu sukar untuk saya jelaskan. Seperti yang anda tahu, dalam sukan anda boleh mencipta perbezaan apabila anda secara konsisten berada pada prestasi terbaik.
“Saya cuba untuk mempamerkan persembahan seperti yang diinginkan, tetapi, saya tidak berasakan yang saya pada ketika ini berada di tahap tersebut,” katanya.
Bezzecchi yang menjuarai dalam perlumbaan pecut di Phillip Island, Australia, minggu lalu, berkata, dia sebenarnya amat gembira berada di Sepang kerana SIC merupakan satu-satunya trek pasukannya memiliki rujukan daripada sesi ujian.
“Saya boleh katakan kami agak bergelut untuk mendapatkan prestasi jentera yang terbaik, jadi, dengan adanya data lengkap di Sepang, teruja untuk melihat apakah reaksi pertama kami terhadap persembahan motosikal di litar yang hebat ni,” katanya.
Berada di kedudukan ketiga keseluruhan dengan 282 mata, musim ini, kata Bezzecchi, pasukannya telah melakukan begitu banyak perubahan sepanjang musim ini, jadi, amat penting untuk melihat kemajuan jentera Aprilia yang dipacunya.
Katanya lagi, Aprilia telah melakukan tugas mereka dengan cemerlang, selepas kru pasukan bekerja keras sejak awal lagi bagi memastikan prestasi jentera berada di kedudukan konsisten dan salah satunya hasil kerja mereka ialah kestabilan motosikal ketika melakukan brek.-UTUSAN









