MANDALIKA: Pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi bangkit semula selepas permulaan buruk untuk memenangi perlumbaan pecut yang penuh mendebarkan di Grand Prix (GP) Indonesia, hari ini.
Bezzecchi memintas Fermin Aldeguer dari Gresini dalam tiga pusingan terakhir untuk mengesahkan kemenangan pecut keduanya musim ini manakala tempat ketiga menjadi milik Raul Fernandez dari pasukan satelit Aprilia.
Juara dunia bertahan, Marc Marquez dikenakan penalti selepas insiden perlanggaran dengan Alex Rins pada pusingan pertama semasa cuba memotong dari petak kesembilan.
Selepas penalti, pelumba Ducati itu jatuh ke kedudukan ke-13 tetapi berjaya bangkit untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.
Rakan sepasukan Ducati, Pecco Bagnaia pula mengalami hari yang suram apabila menamatkan perlumbaan di tempat terakhir, ke-14, ketinggalan hampir 30 saat di belakang pendahulu.
Walaupun hari yang sukar buat Ducati, mereka telah dinobatkan sebagai juara dunia kategori pasukan.
Fabio Quartararo, Pedro Acosta dan Johann Zarco semuanya terjatuh manakala Enea Bastianini turut tersingkir daripada saingan ketika berada di kedudukan belakang.
Pelumba rookie dari Thailand, Somkiat Chantra yang mewakili pasukan satelit Honda LCR, juga terjatuh pada awal perlumbaan. – AGENSI