SHAH ALAM: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) ditemukan maut selepas jatuh dari tingkat 15 Pangsapuri Ken Rimba, Seksyen 16 di sini, semalam.
Kejadian itu menimpa mangsa tempatan berusia 46 tahun yang juga penghuni pangsapuri tersebut.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat daripada orang awam, kira-kira pukul 6.15 petang.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati seorang wanita jatuh dari pangsapuri itu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan lanjut mendapati tiada kesan pergelutan dan kecederaan berunsur jenayah pada tubuh mangsa.
“Wanita itu merupakan penghuni pangsapuri sama dan merupakan seorang pemegang kad OKU mental,” katanya hari ini.
Tambah Mohd. Iqbal, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi proses bedah siasat.
“Siasatan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Fildza Che Ibrahim di talian 016-9537372 atau balai polis berdekatan,” ujarnya.
Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial memaparkan gambar mayat mangsa terbaring di tingkat bawah pangsapuri berkenaan. – UTUSAN










