PHILLIP ISLAND: Pelumba Gresini Ducati, Alex Marquez tetap tenang dan berpuas hati meskipun menamatkan saingan di tempat keempat dalam aksi MotoGP Australia di Litar Phillip Island, pada Ahad lalu.
Marquez yang bermula cemerlang dan bersaing sengit di kelompok hadapan mengakui tayar belakang motosikalnya mula kehilangan cengkaman di penghujung perlumbaan, menyebabkan dia tergelincir daripada kedudukan podium.
“Saya sudah beritahu sebelum perlumbaan, hari ini saya akan berikan 100 peratus tanpa fikir soal pengurusan tayar.
“Saya mahu menolak sepenuhnya dan menikmatinya. Itu yang paling penting.
“Apabila saya mula bergelut di akhir perlumbaan, saya cuma fikir tak mengapa. Hari ini saya sudah ambil risiko, jadi tempat keempat pun memadai. Ia tetap perlumbaan yang menyeronokkan,” tambahnya.
Walaupun gagal menamatkan di podium, keputusan itu tetap menguntungkan pelumba Sepanyol berusia 28 tahun itu apabila pesaing utama, Francesco Bagnaia, tergelincir dan menamatkan saingan di belakang Marco Bezzecchi.
Situasi itu meletakkan Marquez semakin hampir mengesahkan kedudukan satu-dua bersejarah keluarga Marquez dalam kejuaraan dunia.
“Ini hujung minggu yang penting untuk tempat kedua dalam kejohanan. Bukan mudah menunggang di trek seperti ini apabila anda bertarung untuk sesuatu,” ujarnya.
Menjelang pusingan di Sepang, Marquez kini memiliki kelebihan 97 mata berbanding Bezzecchi dan 105 mata di depan Bagnaia, dengan hanya 111 mata maksimum masih boleh dikutip dalam baki enam perlumbaan menjadikan kedudukannya sukar digugat.-AGENSI