KUBANG PASU: Suasana di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini kelihatan lengang sejak beberapa hari kebelakangan ini apabila arus keluar masuk pengembara ke Thailand menunjukkan penurunan ketara.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati laluan kenderaan yang lazimnya sesak terutama pada hujung minggu dan musim cuti kini bergerak lancar tanpa kesesakan, malah terdapat waktu tertentu kaunter pemeriksaan kelihatan hampir kosong.
Keadaan itu jauh berbeza berbanding situasi sebelum ini apabila ribuan rakyat Malaysia mengambil peluang ke selatan Thailand bagi tujuan percutian dan membeli-belah, sekali gus menjadikan Bukit Kayu Hitam sebagai antara pintu sempadan paling sibuk di negara ini.
Menurut pemandu e-hailing di sekitar kawasan sempadan, Sufian Abu, 40, kemerosotan jumlah pengunjung dipercayai dipengaruhi beberapa faktor terutama cuaca dan situasi pasca banjir di Hat Yai yang masih dalam fasa pemulihan.
“Biasanya waktu pagi seperti Hari Krismas ini sudah penuh dengan kenderaan, tapi sekarang sunyi. Pelanggan pun berkurang,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Sementara itu, seorang rakyat Malaysia, Farihah Arif, 46, yang dihubungi memaklumkan, dia sekeluarga mengambil pendekatan menangguhkan perjalanan ke Thailand buat sementara waktu sebelum situasi kembali stabil.
“Kalau ikutkan hari ini kami seramai 10 orang akan pergi bercuti ke Hat Yai sempena cuti Hari Krismas, hotel juga sudah ditempah awal sebelum banjir tempoh hari kerana ada diskaun.
“Tetapi disebabkan kawasan tumpuan itu masih belum pulih sepenuhnya kami tak jadi ke sana buat masa ini, lagi pun pihak hotel juga sudah mengembalikan wang sebab banjir itu,” katanya.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir turut mengakui kemasukan kenderaan dan pengembara tempatan ke Thailand berkurang hari ini.
“Berbanding cuti umum lain sebelum ini, situasi di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam sesak sehingga ke jalan utama berikutan deretan kenderaan yang berpusu-pusu untuk masuk ke Thailand,” ujarnya.
Semalam, akhbar ini melaporkan banjir besar melanda selatan Thailand baru-baru ini khususnya Hat Yai yang disifatkan terburuk dalam tempoh 25 tahun menyaksikan lokasi pelancongan tersebut berdepan kemusnahan cukup dahsyat.
Anggaran kerugian atau nilai kerosakan mencecah sehingga RM1.3 bilion dengan lokasi-lokasi tumpuan pelancongan, hotel, kedai-kedai makanan popular, premis perniagaan, tempat membeli-belah semua terjejas teruk.
Malah, kebanyakan peniaga mengalami kerugian besar selepas stok barangan sebagai persediaan bagi menyambut kedatangan pelancong Malaysia sempena cuti Krismas dan tahun baharu hampir musnah sepenuhnya.-UTUSAN










