KUBANG PASU: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain memberi amaran tegas kepada pegawainya supaya tidak terlibat dengan sebarang perbuatan khianat yang membuka ruang kepada kemasukan warga asing secara tidak sah ke negara ini.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius laporan orang awam mengenai kemasukan ramai warga asing, khususnya dari India dan Bangladesh yang dikatakan dilihat berada di kawasan Changlun, di sini sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, setakat ini pihak AKPS masih belum dapat mengenal pasti dari mana laluan kemasukan kumpulan warga asing berkenaan.
“Perkara itu juga yang saya gunakan sebagai amaran kepada pegawai saya supaya jangan sampai saya mendapat tahu ia adalah hasil daripada perbuatan khianat seperti yang pernah saya tegur sebelum ini di Bukit Kayu Hitam.
“Sekiranya perkara itu benar-benar berlaku, saya mungkin terpaksa datang lebih kerap untuk mengenal pasti siapakah pengkhianat-pengkhianat tersebut,” katanya pada sidang akhbar Majlis Serah Terima Tugas Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan orang awam mengenai kemunculan warga asing didakwa semakin ramai di utara Kedah.
Katanya, berdasarkan maklumat yang tular di media sosial sejak satu atau dua minggu kebelakangan ini, individu-individu berkenaan dilihat berada di sekitar Changlun.
“Kalau tuan-tuan tengok dalam Facebook sejak seminggu dua ini, mereka berada di Changlun, maknanya mereka sudah terlepas. Namun dari mana mereka masuk seperti yang ditanya tadi, itu yang kita masih tidak dapat kenal pasti,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Shuhaily berkata, AKPS turut memperketatkan kawalan di sempadan khususnya berkaitan penyeludupan barangan bersubsidi susulan situasi geopolitik semasa yang melibatkan konflik antara Iran, Amerika Syarikat dan Israel.
“Perkara itu telah dimaklumkan kepada Komander AKPS Bukit Kayu Hitam namun agensi peneraju dalam menguatkuasakan perkara berkaitan barangan atau bekalan kawalan adalah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Kita akan bersama-sama mengambil peranan dan bekerjasama dengan KPDN bagi melaksanakan penguatkuasaan tersebut di kawasan sempadan,” katanya. – UTUSAN










