PETALING JAYA: Skuad wushu negara mencipta kejutan manis apabila berjaya menggondol tiga pingat emas di Kejohanan Dunia Wushu ke-17 di Brasilia, Brazil.
Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM), Datuk Chong Kim Fatt berkata, pencapaian itu jauh melepasi sasaran awal yang hanya diletakkan satu emas.
Beliau menjelaskan, saingan kali ini cukup getir kerana kuasa besar Asia seperti China, Taiwan dan Korea semakin dominan di pentas dunia.
Namun skuad negara membuktikan kemampuan mereka untuk bersaing di gelanggang antarabangsa dengan semangat juang luar biasa.
“WFM sasar satu emas sahaja kerana negara lain semakin pantas berkembang dan profesional, terutama negara-negara Asia.
“Tetapi atlet kita tidak pernah berputus asa untuk membuat Malaysia bangga dan mengibarkan Jalur Gemilang,” kata Kim Fatt kepada Mingguan Malaysia.
Semalam, ratu wushu negara, Tan Cheong Min menghadiahkan emas kedua menerusi acara Nangun wanita selepas mengutip 9.746 mata menewaskan pencabar dari Taiwan, Chao Tang Hsuan (9.723 mata) dan atlet Korea Selatan Siwoo Byun dengan 9.710 mata.
Lebih mencuri tumpuan, penampilan sulung atlet lelaki, Si Shin Peng menghadirkan emas ketiga negara apabila menjuarai acara Jianshu dengan 9.746 mata mengatasi wakil Macau, Chin Ka Hou (9.736 mata) dan Chen Jinsong dari Hong Kong dengan 9.733 mata.
Terdahulu, Shin Peng mencipta sensasi apabila menghadiahkan emas pertama negara dalam acara Qiangshu dengan 9.756 mata menewaskan peserta dari Macau dan Jepun pada Jumaat.
Secara keseluruhan, skuad negara berjaya mengumpul tiga emas, satu perak dan satu gangsa selepas Cheong Min menyumbang perak manakala Lee Jia Rong menambah gangsa pada Khamis lalu.-UTUSAN