LIVERPOOL: Bekas bintang England, Wayne Rooney menyifatkan Florian Wirtz ‘merosakkan keseimbangan’ pasukan Liverpool selepas pemain Jerman itu masih gagal menyerlah meskipun dibeli The Reds dengan harga 116 juta pound (RM657 juta).
Wirtz, 22, tiba di Anfield dengan reputasi tinggi selepas membantu Bayer Leverkusen menjuarai Bundesliga 2023-24 tanpa kalah namun prestasinya hambar di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Sehingga kini, Wirtz masih belum mampu menyinar seperti mana ditunjukkannya di Bundesliga apabila masih tiada gol atau bantuan jaringan dalam lapan penampilan.
Ketika menentang Crystal Palace, dia gagal menyudahkan peluang terbuka dari jarak dekat sebelum digantikan pada minit ke-74.
Prestasi buruk Wirtz menyaksikan dia dikeluarkan dalam semua perlawanan yang diturunkan sebagai kesebelasan utama, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai keyakinan Arne Slot terhadapnya.
Rooney yang juga bekas penyerang Manchester United mengkritik mengenai kegagalan Wirtz memberi sumbangan besar di Anfield.
Katanya, Dominik Szoboszlai lebih sesuai berbanding Wirtz dalam sistem Slot.
“Dia pemain hebat, tapi buat masa ini saya rasa dia merosakkan keseimbangan Liverpool. Dengan Mo Salah masih ada, ditambah barisan depan baharu, dia yang paling ketinggalan.
“Jika perlu pilih, saya pilih Szoboszlai. Wirtz bukan pemain tengah ketiga, dia lebih kepada penyerang,” katanya.
Sementara itu, Wirtz mengakui kepada Sky Germany bahawa tempoh awal di Anfield mencabar dan detik sukar dalam kariernya.
“Saya mahu sumbang gol atau bantuan, tapi saya cuba bertenang. Ia cuma fasa. Bila saya lalui ini, semuanya akan baik,” jelasnya. – AGENSI