PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menepis desakan supaya memecat setiausaha politiknya yang terpalit kontroversi susulan pengeluaran surat sokongan kepada kontraktor yang membida projek pembinaan hospital tahun lalu.
Beliau berkata, desakan yang disuarakan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli itu perlu dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira tahap sesuatu kesalahan dan kesan daripada tindakan berkenaan.
“Lihat kewajaran situasi tersebut. Saya faham dari mana datangnya pandangan itu, tetapi kita perlu melihat kepada tahap keseriusan kesalahan. Saya memang tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh beliau (setiausaha politik), tetapi kita perlu bertanya sama ada projek itu benar-benar diberikan berdasarkan suratnya… jawapannya tidak.
“Jadi, kita telah menegur beliau. Kita tidak boleh mendesak tindakan keras hanya kerana kita tidak bersetuju dengan seseorang. Kita mesti konsisten.
“Saya telah menggunakan kata-kata yang tegas kepadanya supaya menjadi pengajaran kepada yang lain juga,” katanya kepada media ketika perjalanan ke Afrika Selatan selepas menamatkan lawatan rasmi di Addis Ababa, Ethiopia.
Selasa lalu, Perdana Menteri memaklumkan telah menegur setiausaha politiknya mengenai perkara itu serta turut menegaskan peraturan kerajaan jelas melarang surat sokongan dikeluarkan bagi urusan perolehan.
Katanya, beliau sendiri hanya boleh menulis ‘sila teliti semula’ bagi surat-surat yang ditujukan kepadanya kerana sebarang kontrak perlu melalui proses semakan dan tidak boleh menerima sokongan automatik.
Mengulas desakan supaya setiausaha politik itu dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Anwar berkata, surat berkenaan bukan merupakan arahan, malah ramai hanya lantang bercakap tentang kes rasuah tetapi berdiam diri apabila berbilion ringgit dicuri terutama apabila ia melibatkan rakan atau penyumbang mereka.
“Bagi saya, itu jauh lebih serius. Saya tiada simpati pada mereka yang melarikan berbilion ringgit. Mereka pejam mata terhadap kes besar tetapi sibuk dengan isu kecil seperti ini walaupun tidak harus dibiarkan, ia tidak berada pada tahap yang sama dengan kecurian berbilion.
“Mereka mesti konsisten, tidak menyorot kes rasuah besar melibatkan VIP, tetapi mengejar isu kecil semata-mata untuk meraih populariti,” katanya.
Sebelum ini, Rafizi menegaskan supaya setiausaha politik Perdana Menteri sepatutnya dipecat, bukan sekadar ditegur keras bersabit kes mengeluarkan surat sokongan kontraktor bagi sebuah projek hospital pada 2024.
Katanya, kes seperti itu bukan pertama kali berlaku, malah beliau sendiri pernah membincangkan beberapa aduan serupa sebelum ini.
“Perdana Menteri sendiri pernah menyemak dan mengesahkan bahawa dakwaannya itu betul, namun setiausaha politik berkenaan masih kekal.
“Kes surat sokongan itu perlu dilaporkan kepada SPRM bagi memastikan sama ada terdapat habuan bertukar tangan,” katanya. – UTUSAN










