United sedia lepaskan bintang demi Baleba

United sedia lepaskan pemain bintang demi Baleba

PEMAIN Brighton, Carlos Baleba kini menjadi sasaran Manchester United.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Manchester United bakal melepaskan beberapa pemain bintang antaranya Casemiro bagi membiayai pembelian pemain Brighton, Carlos Baleba.

Kontrak Casemiro akan tamat hujung musim ini dengan pilihan tambahan setahun, dikatakan akan mengetuai perpindahan besar-besaran pemain United.

Pemain tengah Brazil berusia 33 tahun itu, antara penerima gaji tertinggi kelab iaitu sekitar 300,000 pound (RM1.7 juta) seminggu, selepas tiba dengan yuran 70 juta pound (RM397 juta).

Selepas musim sulung cemerlang pada 2022-23, prestasinya merosot dalam saingan domestik dan United kini mahu membawa masuk penggempur tengah baharu.

Sementara itu, Harry Maguire yang turut memasuki tahun terakhir kontraknya mungkin diberikan lanjutan untuk terus kekal di Old Trafford.

Pengurus United, Ruben Amorim sebelum ini mengaktifkan klausa setahun tambahan pada Januari lalu, selain menolak tawaran kelab lain untuk mendapatkan khidmat pemain pertahanan berusia 32 tahun itu.

Maguire, yang mencipta sejarah sebagai pertahanan termahal dunia ketika dibeli dari Leicester dengan harga 80 juta pound (RM453 juta) pada 2019, kini menerima gaji 190,000 pound (1.07 juta) seminggu.

United dilaporkan mahu mengekalkannya dengan tawaran gaji lebih rendah menjelang ulang tahun ketujuh perpindahannya.

United pernah melepaskan lima tonggak utama pada 2022 iaitu Paul Pogba, Juan Mata, Nemanja Matic, Edinson Cavani dan Jesse Lingard sebelum melakukan perbelanjaan besar pada musim panas pertama di bawah Erik ten Hag, termasuk membawa masuk Antony, Casemiro, Lisandro Martinez dan Jadon Sancho.

Sancho, yang kini dipinjamkan ke Aston Villa, juga dijangka akan dijual sepenuhnya.

Pemain sayap England itu menyertai United dengan harga 73 juta pound (RM414 juta), namun gagal menyerlah sejak kembali dari Borussia Dortmund pada 2021, malah Sancho tidak pernah beraksi dalam perlawanan liga bersama The Red Devils lebih dua tahun lalu.

Sancho, 25, hanya membuat dua penampilan bersama Villa musim ini, selepas turut dipinjamkan ke Dortmund dan Chelsea sebelum ini.

Walaupun kontraknya mempunyai pilihan tambahan setahun, kehadirannya dalam skuad buangan pramusim dan prestasi hambar menyebabkan United mahu melepaskannya.

Satu lagi nama dalam skuad buangan, Tyrell Malacia masih kekal di Old Trafford selepas gagal mencari kelab baharu. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN